PUTRAJAYA – Seramai 9,674,456 pengundi bakal menjadi penentu sama ada kerajaan sedia ada bagi enam negeri bakal bertukar atau kekal dengan membuat pemilihan ke atas 570 calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Daripada jumlah keseluruhan 9.7 juta pengundi pada PRN kali ini, kategori pengundi muda berusia antara 18 hingga 29 tahun merekodkan jumlah tertinggi iaitu mencatatkan sebanyak 2,831,025 pemilih.
Ia seterusnya diikuti oleh pengundi berusia 30 hingga 39 tahun iaitu seramai 2,163,982 yang turut berperanan menentukan sama ada blok kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berupaya menguasai negeri terlibat atau sebaliknya.
Proses pengundian pada hari ini melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, 45 bagi DUN Kelantan, 32 DUN Terengganu, 40 DUN Pulau Pinang, 56 DUN Selangor dan 36 DUN Negeri Sembilan.
Ketika ini, gabungan PH-BN dilihat berpotensi mempertahankan kemenangan bagi kerusi DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala baki tiga lagi negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu bakal menyaksikan pertembungan sengit dengan Perikatan Nasional (PN).
Sekiranya gabungan PH-BN mampu menguasai kemenangan dengan majoriti dua pertiga di negeri-negeri pembangkang, keadaan itu bakal membuktikan kedudukan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mendapat kepercayaan rakyat.
Bagaimanapun, selepas tempoh 14 hari kempen ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sentimen rakyat di enam negeri disifatkan pada tahap sama di mana rata-rata pengundi kekal dengan pendirian ketika menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pembangunan Manusia Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakob berkata, sentimen pada PRU15 disifatkan sukar untuk dikikis di mana rata-rata pengundi sudah mempunyai pilihan masing-masing.
Katanya, keadaan PRU15 itu boleh dijadikan sebagai medium rujukan bagi membuat ramalan keputusan PRN terutamanya di negeri-negeri yang dimenangi oleh PH-BN.
“Jika dilihat, PH-BN mempunyai potensi besar untuk mengekalkan penguasaan di Pulau Pinang yang mempunyai sebanyak 40 DUN ekoran banyak kerusi di kawasan bandar dikuasai oleh PH.
“Bagaimanapun, saya meramalkan BN-UMNO berdepan sedikit kesukaran mempertahankan enam kerusi yang dipertandingkan, manakala PN pula berpotensi untuk menambahkan jumlah kerusi DUN di Pulau Pinang,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu, mengulas mengenai peluang PH-BN mempertahankan kerusi DUN Selangor, Mohammad Tawfik berkata, keadaan di negeri itu sedikit berbeza di mana bakal memberikan persaingan hebat antara gabungan PH-BN dengan PN.
“Ini antara negeri yang mungkin memberikan keadaan sukar kepada PH-BN mahupun PN pada hari esok (hari ini). Sekiranya berjaya membentuk kerajaan, PH-BN mungkin hanya memiliki tiga kerusi yang mempunyai jumlah majoriti, jadi ia kritikal.
“Justeru, penilaian awal yang boleh dibuat bagi melihat parti manakah yang berupaya menguasai Selangor ialah dengan melihat kerusi di DUN Kota Anggerik, Taman Medan dan Sungai panjang,” jelasnya.
Katanya, ketiga-tiga kerusi itu perlu diberi tumpuan kerana mempunyai ciri penentu seperti DUN Kota Anggerik merangkumi majoriti Melayu dan pendapatan tinggi, manakala Taman Medan (Melayu, pendapatan pertengahan) dan Sungai Panjang (Melayu, luar bandar, pendapatan rendah).
“Jika ketiga-tiga kerusi berkenaan dimenangi PH-BN seawal pukul 7 petang ini, maka gabungan parti politik itu berpeluang cerah untuk membentuk kerajaan di Selangor.
“Bagaimanapun, sekiranya PN berjaya menguasai kerusi berkenaan, seterusnya kita akan lihat satu kerajaan baharu akan dibentuk di Selangor,” jelasnya.
Sementara itu, bercakap mengenai kerusi DUN Negeri Sembilan pula, katanya, gabungan PH-BN tidak mempunyai sebarang masalah membentuk kerajaan, namun memerlukan beberapa kerusi tambahan daripada BN bagi menguasai majoriti mudah.

“Daripada perspektif lain pula, kedudukan PN di Terengganu juga mungkin sedikit goyah kerana negeri itu bukanlah kubu berterusan Pas memandangkan politik di sana lebih bersifat dinamik dan fleksibel.
“Jika PH-BN boleh menang di Terengganu selain menawan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, ia bakal memberi terjemahan bahawa kewujudan kerajaan Pusat di bawah payung Kerajaan Perpaduan sudah diterima.
“Bagaimanapun, jika keputusan berbeza di enam negeri terlibat, Kerajaan Perpaduan perlu melakukan sesuatu bagi memenangi hati rakyat kembali,” katanya.
Terdahulu, SPR menetapkan tempoh 14 hari untuk berkempen kepada 570 calon bertanding pada PRN kali ini selepas proses penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai, manakala hari mengundi awal bagi 97,388 pengundi ditetapkan pada 8 Ogos 2023.
Daripada jumlah keseluruhan pengundi awal itu, sebanyak 72,554 pengundi telah menunaikan tanggungjawab yang mana jumlah keluar mengundi bagi enam negeri terlibat mencatatkan peratusan melebihi 90 peratus.
Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, peratusan keluar pengundi pada PRN kali ini dijangka sedikit berkurang jika dibanding pada PRU15 yang diadakan November lalu.
Menurutnya, jangkaan peratusan keluar mengundi pada hari ini ialah sekitar 70 peratus sahaja berbanding PRU15 sebanyak 74 peratus dan PRU14 sekitar 82 peratus.
“Jangkaan itu berikutan keadaan pengundi yang bersikap pasif di mana antaranya disebabkan faktor kurang bersemangat ekoran PRN dan PRU15 diadakan secara berasingan sekali gus menyebabkan kurang keterujaan.
“Selain itu, antara faktor lain ialah pengundi mungkin sudah berasa selesa dengan kestabilan politik dibawa Kerajaan Perpaduan ketika ini dan merasakan perlu untuk mengekalkan kerajaan sedia ada,” jelasnya.
Bagaimanapun, Noor Nirwandy terus menyeru kepada semua pengundi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat pada hari ini seterusnya memberi terjemahan bahawa Malaysia berada pada landasan tepat dalam mengamalkan demokrasi matang.














