fbpx

Abang Sanusi tolak tawaran kerja di Arab Saudi, Qatar untuk mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shabudin selesai mengundi di SK Bandar Baru Beris Jaya, Jeniang, Sik bagi kerusi DUN Jeneri, hari ini.

SIK – Abang kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Shabudin, 57, sanggup menolak dua tawaran kerja di Arab Saudi dan Qatar demi memastikan dia dapat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.

Shabudin yang merupakan penyelam profesional dasar laut tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya, di sini kira-kira pukul 8.30 pagi tadi dan selesai membuang undi 15 minit kemudian.

Ketika ditemui, anak kedua daripada 13 beradik itu berkata, seramai 12 lagi adik beradiknya serta ibu bapa juga akan mengundi di tempat sama.

“Saya sepatutnya sudah berangkat ke Arab Saudi dan Qatar pada Rabu lalu, tapi kerana perjuangan, saya perlu tunaikan tanggungjawab saya hari ini untuk mengundi.

“Insya-Allah selepas ini saya akan terbang ke negara lain, saya tak bimbang tentang kerja kerana sekarang ini tawaran kerja sangat banyak berikutan kenaikan harga minyak dunia,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada 10 Julai lalu tular sebuah banglo milik Shabudin di Kampung Batu 8, di sini yang didakwa milik Muhammad Sanusi hasil daripada kegiatan perlombongan unsur nadir bumi (REE).

Muhammad Sanusi kemudiannya menafikan gambar banglo di Sik yang ditularkan pihak tertentu menerusi media sosial adalah miliknya.

Md. Nor Taib selesai mengundi di SK Bandar Baru Beris Jaya di Jeniang, Sik bagi kerusi DUN Jeneri, hari ini.

Mengulas lanjut, Shabudin berkata dia tidak rasa tertekan dengan keadaan itu berikutan sudah biasa dengan bidang pekerjaan yang menuntut komitmen dan kesabaran tinggi.

“Kerja saya pun sudah dalam keadaan tertekan, jadi saya sudah biasa dalam keadaan ini, saya tak kisah dengan apa yang berlaku (banglo tular),” katanya.

Sementara itu, bapa kepada Muhammad Sanusi, Md Nor Taib, 82, turut selesai mengundi pada pukul 9.15 pagi tadi.

Dia yang berkerusi roda dibawa oleh adik kepada Shabudin, Sobri, 54.

“Alhamdulillah pakcik sudah selesai mengundi, sejak negara adakan pilihan raya, pakcik tak pernah ponteng mengundi,” katanya.

Pengundian bagi PRN Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri menyaksikan pertembungan satu lawan satu membabitkan penyandangnya daripada Perikatan Nasional (PN), Muhammad Sanusi dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI