fbpx
SELEPAS bersara daripada arena MMA, Ann beralih kepada bidang bisnes dan pengurusan.

Transisi hidup Ann Osman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pada hujung tahun 2017, satu keputusan penting terpaksa dilakukan oleh wanita kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini.

Dia memilih untuk bersara daripada dunia seni bela diri campuran (MMA) selepas hampir lima tahun menceburkan diri dan membina nama dalam bidang tersebut.

Meskipun berat dan tidak mudah untuk melakukannya, namun Nurul Ain Osman atau lebih dikenali sebagai Ann Osman tetap dengan keputusannya itu.

“Dengan hati yang berat, secara rasminya saya bersara daripada pertarungan profesional.

“Ia merupakan kerjaya yang saya pilih sehingga membawa kepada pertarungan di dalam gelanggang ONE Championship selama empat tahun setengah.

“Saya teruja dan bersyukur untuk mengambil satu lagi langkah besar dalam karier saya.

“Saya berharap keputusan ini akan menerima sokongan daripada semua pihak,” katanya seperti yang dicoretkan dalam Facebook milik Ann ketika itu.

Pun begitu, persaraan Ann pada usia 31 tahun itu bukanlah bermaksud dia meninggalkan sepenuhnya sukan seni bela diri yang dipraktikkan selama ini.

Buktinya, tidak sampai setahun ‘cuci tangan’ daripada bertarung di gelanggang, dia ditawarkan tempat menyertai unit perhubungan awam dan pembangunan atlet di ONE Championship.

Berkesempatan menemu bual wanita separuh Dusun itu, Ann memberitahu, dia sihat-sihat sahaja dan kini sibuk menguruskan keluarga serta dua perniagaannya.

“Selepas bersara dalam sukan MMA, saya menerima tawaran daripada ONE Championship untuk menyertai organisasi mereka sebagai pengurus atlet dan rekrut.

“Antara tugas saya adalah mencari bakat-bakat baharu untuk bertanding dalam ONE Championship, selain mengurus hal-hal berkaitan atlet dan di sebalik tabir,” katanya kepada Aura.

Ujarnya, tidak sampai tiga tahun berkhidmat, dia sekali lagi terpaksa mengambil keputusan untuk meninggalkan One Championship.

Akui wanita yang dibesarkan di Amerika Syarikat itu, keputusan tersebut diambil kerana mahu memberi tumpuan penuh kepada anak yang baru lahir sambil menguruskan perniagaannya.

Sebagai isteri, ibu dan usahawan berjaya, Ann perlu bijak menguruskan masa pada setiap hari.

Baginya, pengurusan masa, prioriti dan menetapkan batasan yang sihat atau ‘healthy boundaries’ sangat penting.

“Batasan sihat yang saya maksudkan adalah menetapkan dan memastikan keperluan diri seperti senaman serta rehat.

“Sebagai seorang wanita, kita sibuk memastikan keperluan orang terjaga.

“Namun, kita juga perlu jaga keperluan diri agar dapat show up as our best selves and feel our best selves.

ANN berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia menerusi kejayaan dalam gelanggang One Championship.

 

“Memiliki sistem sokongan yang baik sangat penting sebab saya tidak dapat buat semuanya seorang diri.“Sebab itu saya sangat bersyukur kerana ada sistem sokongan yang kuat daripada suami, ibu, adik-beradik, kawan serta staf,” katanya.

Ditebak soalan cepumas, adakah dia tidak merindui untuk kembali beraksi dan bertarung dalam gelanggang?
Ann berkata, tipulah jika tiada sekelumit rasa rindu.

Jelasnya, kalau ditanya tentang rindu dan apa kenangan yang paling dirindui, pastinya terlalu banyak untuk dicerita serta dikongsikan.

“Jujur banyak sebenarnya. Rindu untuk bertanding di arena, rindu mempersiapkan diri untuk pertandingan bersama coach (jurulatih) dan tim Ann di Borneo Tribal Squad.

“Paling rindu ketika cut weight (turunkan berat badan) dengan rakan-rakan.

“Walaupun saya masih cinta dan berlatih seni mempertahankan diri seperti jiu-jitsu, gusti serta tinju, namun perasaan mewakili Malaysia di arena cukup berbeza,” tuturnya.

Sementara itu, baru-baru ini tular dalam media sosial mengenai beberapa wanita dan warga emas yang dicabul.

Rentetan itu, Ann telah dijemput ke stesen radio Kool 101 untuk berkongsi tentang itu.

Ditanya mengenai individu yang harus dipersalahkan dalam kes tersebut, Ann dengan lantang dan tegas menjawab, orang yang melakukan gangguan atau serangan itu perlu bertanggungjawab.

“Mengamalkan seni bela diri itu sangat penting bagi sesiapa sahaja terutama wanita.

“Pertama, seni bela diri dapat meningkatkan kesedaran kepada persekitaran kita.

“Apabila kita sedar apa yang berlaku, kita dapat bersedia sekiranya seseorang itu menyerang,” katanya.

Dalam hal sedemikian katanya, dia sentiasa menggalakkan orang ramai untuk belajar seni bela diri kerana banyak kelebihan.

Ujarnya, seni mempertahankan diri bukan sahaja melatih reaksi semula jadi, malah meningkatkan kesedaran persekitaran sewaktu di luar.

“Apa yang boleh saya sarankan, amalkan seni bela diri secara konsisten dengan mengikuti gim atau pelatih profesional.

“Saya juga sering mengadakan bengkel mengajar seni dan teknik mempertahankan diri.

“Namun, menghadiri bengkel sekali sahaja tidak akan memberi hasil yang mampan tanpa sebarang praktis.

“Justeru, saya selalu menggalakkan peserta bengkel menyertai seni beli diri,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan seni bela diri di negara ini terutama melibatkan wanita, Ann mengakui bangga dengan tahap penerimaan dan kesedaran ramai.

“Alhamdulillah, hasil pemerhatian saya, penglibatan wanita dalam sukan ini semakin diterima dengan baik berbanding sewaktu saya dalam MMA pada tahun 2012.

“Dalam peranan terkini sebagai Timbalan Presiden Persatuan MMA Malaysia, saya banyak mengetahui tentang program dan polisi Kementerian Belia dan Sukan yang sentiasa menggalakkan penglibatan wanita dalam seni bela diri,” katanya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN