fbpx

Suspek kedua kejar, tembak di Jalan Kepong dijejak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shuhaily (tengah).

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu suspek kedua yang dipercayai terlibat dalam kejadian menembak dua lelaki di Jalan Kepong, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, berkata, pihaknya yakin bahawa kes akan segera diselesaikan selepas suspek utama, Ganeshan Olakanathan, 40, berjaya ditahan pada hari sama.

“Kita percaya penangkapan suspek utama ini akan membawa kepada penangkapan suspek kedua yang berjaya melarikan diri.

“Setakat ini, kes boleh dianggarkan hampir selesai, iaitu sebanyak 60 peratus. Kita dalam konteks mengesan seorang lagi suspek,” ujarnya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut penangkapan suspek utama beliau berkata, suspek merupakan seorang penganggur telah ditahan di sekitar kawasan Kajang pada Isnin lalu.

“Suspek berjaya ditangkap pada hari kejadian dan telah direman bermula semalam hingga Isnin depan.

“Berdasarkan hasil semakan, kedua-dua suspek dipercayai mempunyai rekod jenayah dan dadah.

“Kedua-dua suspek juga dipercayai terlibat dalam kes jenayah sekitar kawasan tersebut iaitu kes pecah rumah,” jelasnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan kejadian tembakan berkenaan berlaku dari Pintasan Segambut melalui Taman Pusat Kepong sehingga Laman Rimbunan, Jalan Kepong, di sini, yang jaraknya lebih kurang dua kilometer.

Dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu, Mohd Shuhaily berkata, anggota unit rondaan bermotosikal (URB) terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira dalam keadaan mencurigakan semasa membuat rondaan.

“Anggota polis cuba menahan kenderaan tersebut, tetapi suspek melarikan diri sebelum melanggar kenderaan awam setelah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

“Suspek kemudian mengundurkan kereta dan melanggar anggota URB sehingga cedera.

“Bagi mempertahankan diri, dua anggota URB melepaskan sembilan das tembakan ke arah tayar kereta suspek sehingga terbabas ke tepi jalan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Isnin.

Menurut beliau, kedua-dua suspek yang sudah dikenal pasti identiti itu melarikan diri ke kawasan perumahan berdekatan dan kini dalam buruan polis. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI