fbpx

Najib gagal rayuan singkir dua peguam Tommy Thomas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib dan Tommy.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam rayuannya untuk menggugurkan dua peguam Tetuan Tommy Thomas daripada mewakili Tan Sri Tommy Thomas, dalam perbicaraan saman RM1.9 juta dikemukakan Najib terhadap bekas Peguam Negara berkenaan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah selepas menolak permohonan Najib selain hasil pertimbangan teliti dan berhati-hati.

Dalam penghakimannya Hanipah berkata, pihaknya mendapati tidak wujud kaitan antara isu peguam, Alan Adrian Gomez dan Mervyn Lai Wei Shiung, mewakili Tommy dalam saman yang dikemukakan Najib.

“Pendapat kami (panel) adalah kedua-dua peguam itu boleh mengekalkan tahap profesionalisme mereka dan bertindak demi kepentingan serta keadilan.

“Pertimbangan kami bahawa tiada kesilapan dibuat Mahkamah Tinggi sebelum ini (yang menolak rayuan sama). Dengan ini, Mahkamah Rayuan menolak rayuan itu dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” katanya yang turut mengarahkan Najib membayar kos RM10,000 kepada Tommy.

Semasa prosiding dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azimah Omar dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Untuk rekod, Najib, 70, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos tahun lalu, yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Alan dan Mervyn iaitu rakan kongsi Tetuan Tommy Thomas, daripada mewakili Tommy dalam kes saman terbabit.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon pengisytiharan bahawa Tommy menyalahgunakan jawatan awam dan menuntut RM1.9 juta sebagai ganti rugi, termasuk yuran perundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta menangani pendakwaan terhadapnya.

Najib mendakwa tidak wajar kedua-dua peguam itu mewakili Tommy kerana ketiga-tiga mereka dari firma guaman sama yang diasaskan bekas Peguam Negara itu.

Terdahulu Najib menyaman Tommy membabitkan pertuduhan di mahkamah dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Selain itu, saman berkaitan pendakwaan atas kes pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Najib mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah dirancang lebih awal oleh Tommy dan ia selari dengan perancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Pada 25 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Tommy untuk membatalkan saman terbabit, namun Najib membuat rayuan yang akan didengar pada 4 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI