ROCK keras, namun mengasyikkan. Itu emosi yang dirasai saat menikmati suasana malam bernama Konsert Double Trouble 2 (DT2) menggabungkan dua kumpulan rock, Search dan Barbarik hujung minggu lalu.
Stadium Malawati Shah Alam menjadi saksi kedua-dua band berpengalaman itu berkongsi momen indah di pentas yang disifatkan bukan sebuah medan pertarungan.
Sebelum gempita sorakan memenuhi suasana, seluruh isi konsert DT2 seolah-olah bertafakur memberi laluan kepada laungan azan menghormati waktu solat.
Kemunculan Ismahalil Hamzah di atas pentas selaku pengacara konsert sekali gus menjadi penampilan perdana figura otai itu selepas dua tahun terpenjara angkara dadah yang bukan kesalahannya menjadi antara percakapan audiens.
Dengan kehadiran 7,000 penonton yang juga pengikut genre rock tegar sudah cukup membuktikan kemeriahan persembahan mega tersebut.

Melihat audiens DT2, kebanyakan dalam lingkungan usia 30 hingga 50-an hadir dengan wajah dan mata bersinar teruja, masing-masing hanya satu tujuan iaitu mahu berhibur menikmati getaran muzik kegemaran mereka.
Headbanging
Biarpun Double Trouble asalnya ‘milik’ Search dan Wings, namun di tangan Barbarik (Joe) dan Search versi Din serta Kid, peminat Double Trouble tetap setia bahkan ramai hadir dengan gaya rock sejati.
Si rambut gondrong dan pemakai bermacam baju-T menampilkan kumpulan rock kegemaran masing-masing memenuhi pekarangan stadium sejak sebelum senja.
Tanpa melengahkan banyak lagi masa, adrenalin pentas DT2 bermula kencang dengan Balada Pemuzik Jalanan oleh Muss dan Denden yang melonjakkan rasa ingin melompat ramai penonton yang berdiri di arena Rock Zone.
Sia-sia datang konsert jika sekadar mahu duduk atau berdiri berpeluk tubuh, apatah memilih arena Rock Zone untuk menadah mata dan telinga.

Pertama kali bermain satu pentas, bahkan julung kali juga buat penulis melihat Barbarik dan Search versi Denden ‘bersanding’ dengan sebuah jenama ikonik Double Trouble, sebenarnya banyak ekspektasi telah dipenuhi.
Bukan hanya kuasa vokal Muss dan Denden, mata ibarat tidak berkelip melihat pentas saat Joe Branko menunjukkan skil memetik riff gitar solo.
Kekal berbisa dengan aura rock yang tak pernah padam, lelaki itu masih memiliki apa yang selama ini terlihat bersama band yang memperkenalkan namanya.
Joe tetap Joe. Masih dahsyat duduk bersama Babarik atau band mana pun.
Janji Joe untuk enjoy the moment bersama peminat telah terlestari.
Jari emas Din, Kid
Dua beradik ‘jari emas’ Din dan Kid Search juga tidak hilang bisa. Seperti biasa, tanpa sepatah kata atau pandangan tertancap ke mata, Din dan Kid masih memukau dengan pesona rockstar masing-masing.
Kedua-dua kumpulan tidak mampu mengulas banyak mengenai aksi mereka pada malam tersebut kerana kepenatan, namun rata-rata meluahkan perasaan puas dapat memenuhi keinginan khalayak.
“The best collaboration (gabungan terbaik),” ujar Joe selaku pendukung Barbarik yang puas dengan kelancaran konsert secara keseluruhan.
Konsert DT2 boleh cukup perasa apabila masing-masing memenuhi amanah dengan sempurna walaupun ada satu ketika sistem audio semasa vokalis Barbarik, Muss melantunkan vokal kurang kedengaran melontarkan bait-bait lirik.

Namun, mungkin masalah teknikal yang menyebabkan mikrofon Muss atau nama lengkap Mustaffa Din itu sesekali kedengaran tenggelam timbul, namun tidak sempat mencacatkan konsert.
Pujian harus diberikan kepada kedua-dua vokalis, Muss dan Denden yang sangat energetik melunaskan nota tinggi bagi kesemua 20 lagu serta seleksi secara medley dan duet.
Tiga jam yang tidak terasa. Pelesit Kota, Gadisku, Inspirasi Syakilla, Gadis Misteri, Blues Ular Sawa, Mencari dan Gemuruh pastinya menjadi momen asyik yang tidak dilupakan penonton.
Menerusi konsert tersebut, Search dan Barbarik sempat mempersembahkan lagu Kejora versi akustik. Sungguh penuh karisma.
Jika Double Trouble (Wings dan Search) di Bukit Kiara sekitar 2010 sudah menjadi satu reunion penuh gempita buat dua band rock gergasi itu, DT2 Search dan Barbarik Sabtu lalu pula sebuah lagi momen mengisi catatan sejarah betapa jenama itu punya banyak lapisan untuk dikenang.
Edisi kali ini pula seperti kesinambungan Search kendalian Kid dan Din yang mencipta aras baharu usai Rockin’ On Rooftop di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur, Jun tahun lalu, sementara Barbarik lewat Barbarik Pentas Keras di Zepp Kuala Lumpur 2022.














