SEPERTI acara wajib tahunan, Kunto Aji kembali ke Malaysia menerusi konsert Nusafest Kunto Aji di Zepp Kuala Lumpur (KL) pada 4 Ogos lalu.
Kemunculannya sememangnya sangat dinanti-nanti lebih dua ribu pencinta muziknya yang membanjiri Zepp KL pada malam tersebut.
Jika tahun lalu, konsertnya lebih formal yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) tetapi kali ini penonton berpeluang berdansa di ruang lebih terbuka, luas seiring irama yang dimainkan.
Tepat pukul 8.30 malam, pentas Zepp KL dibuka dengan lagu Sulung yang cukup memberi impak kepada semua individu bergelar anak, terutama buat anak pertama dalam sesebuah keluarga.

Disihir
Lagu pertama sahaja sudah bikin jiwa bergelora. Meneruskan acara, senarai lagu disusuli dengan Rancang Rencana dan Akhir Bulan.
Kemudian, Zepp KL kembali bergema dengan Saudade yang dipetik daripada album keduanya, Mantra Mantra.
Seperti diberi kata-kata semangat selepas hilangnya arah hidup. Itu dirasakan sepanjang mendengar bait-bait lirik Saudade yang bermaksud kehilangan.
Berhenti sebelum memasuki babak kedua, Kunto Aji atau lelaki yang mesra disapa Mas Kun itu mengungkapkan sejuta rasa teruja saat diberi peluang kembali ke Malaysia bertemu dengan peminat yang selama ini menyokong perjuangan muziknya.
“Terima kasih buat semua yang hadir ke acara ini.
“Hebat sungguh semangat yang diberikan kalian pada malam ini,” kata penyanyi berusia 36 tahun itu ringkas
Tidak mengambil masa lama, Mas Kun terus mengusik emosi penonton yang hadir menerusi lagu Amatiran, Pengingat, Mercusuar dan Topik Semalam.

Pilihan penulis pada malam tersebut ialah Terlalu Lama Sendiri yang boleh diibaratkan sebagai lagu klimaks, cukup membuai jiwa mana-mana individu yang masih belum memiliki pasangan.
Tidak kurang juga ketika Ekspektasi dilantunkan, mana-mana individu yang menyanyi bersama pasti tidak mampu menahan rasa sedih dalam diri.
Seperti kumpulan koir, seluruh dewan sama-sama berteriak melantunkan lagu tersebut. Mas Kun bikin galau di Zepp KL!
Melantunkan salah satu karya hebatnya, Rehat, Mas Kun seperti menyebarkan energi positif dan memujuk hati mana-mana individu yang pernah melalui saat sukar dalam hidup.
Setiap bait lirik memberi semangat dan motivasi pada pendengar supaya usah tidak sesekali menyalahkan diri sendiri setiap kali berlaku perkara yang tidak diingini.
Persembahan yang berlangsung selama 90 minit kemudiannya ditutup meriah menerusi lagu Gema, Jakarta Jakarta dan Konon Katanya.
Diamati semula muzik Kunto Aji, setiap petikan gitar dengan pengulangan kord yang sama kedengaran ibarat terapi buat minda dan mampu mencetuskan rasa damai dalam jiwa.
Mungkin itu yang dikatakan Mas Kun, bahawa pentas dan muzik merupakan terapi buat dirinya lari daripada kesedihan yang pernah membelenggu diri.

Album, terapi
Pada konsertnya, dia turut mengumumkan pelancaran album ketiga berjudul Menilik Benih yang bakal menemui peminat September depan.
Katanya, karya-karya yang dihasilkan dalam Menilik Benih mengenai semua yang berlaku dalam kehidupannya dalam tempoh lima tahun ini.
“Album ini merangkumkan semua perasaan yang saya lalui termasuk ketika fasa pandemik yang memeritkan jiwa ramai manusia dan momen pahit ketika kehilangan bapa tercinta tahun lalu.
“Lagu-lagu dalam album ini saya lihat lebih matang dan tentang kedewasaan. Ibarat saya ranting yang mencari cahaya untuk tumbuh,” tuturnya yang menulis semua lagu dalam Menilik Benih.
Menjawab mengenai ada yang melabel lagu-lagunya sebagai karya penyembuhan atau ‘healing’, dia menyerahkan perkara tersebut kepada setiap pendengar yang memiliki interpretasi sendiri.
“Bersyukur apabila ramai yang menjadi karya Kunto Aji dalam proses penyembuhan jiwa.

“Saya ingin selalu mendidik pendengar agar tidak beranggap lagu saya sebagai ubat kepada jiwa kacau.
“Seharusnya mereka berjumpa pakar dan mereka yang lebih profesional jika mahu mendapatkan bantuan,” ujarnya yang pernah berperang dengan masalah kesihatan mental iaitu serangan panik sebelum ini.
Muzik yang diperjuangkannya bukan untuk mengubati jiwa yang sedang sulit. Itu penegasan yang berkali-kali diulang oleh pemuzik berasal dari Jogjakarta tersebut.
“Saya melepaskan sahaja setiap emosi ketika membuat persembahan dan pentas sudah seperti tempat terapi buat saya.
“Muzik saya bukan ubat, namun boleh dijadikan sebagai terapi buat diri sendiri.
“Adakalanya orang hanya mahu didengar kerana tidak mempunyai kawan dan mungkin dengan mendengar muzik, mereka terasa seperti dibantu,” ujarnya mengakhiri perbualan.
















