HATI pemuda itu berbunga-bunga tatkala melihat kasut yang dihasilkannya diperagakan di atas pentas Mercedes-Benz Fashion Week di Zepp, Kuala Lumpur pada tahun lalu.
Segala penat jerih ditempuhi Jack Wang, 36, dalam usaha membuat kasut kulit bagaikan ‘terbayar’ apabila mendapat pengiktirafan tinggi.
Namun, kegembiraannya terhenti apabila anak kelahiran Kuala Lumpur itu menyedari bahawa dia hanya seorang pembuat kasut yang berdiri di belakang pereka terkenal dan jenama besar.
Pengiktirafan tersebut tidak sampai kepadanya kerana profesion sebagai pembuat kasut hanyalah watak di belakang tabir dalam pembikinan sepasang sepatu.
Hakikatnya, dia mempunyai pengalaman membuat kasut buatan tangan cita rasa tinggi hampir sedekad.
Lantaran itu, Jack Wang atau nama sebenarnya Wang Wei Jie mula menilai semula perjalanan kariernya sebelum membuat keputusan menjadi pembuat kasut kulit berkualiti tinggi pada tahun ini.
Dia memilih untuk menawarkan perkhidmatan secara eksklusif.
Menurut Jack Wang, ramai orang mengenali pereka kasut, namun hanya sebahagian yang tahu tentang susuk sebenar di belakang seni pembuatan sepatu itu sendiri.
“Ada perbezaan di antara pereka kasut (shoe designer), pembuat kasut (shoemaker) dan tukang baiki kasut (cobbler).
“Tidak semua pereka kasut tahu cara membuat kasut dan begitu juga sebaliknya.
“Kadang-kadang, apabila orang tahu yang saya ini adalah pembuat kasut, mereka suruh saya buka kedai baiki kasut.
“Saya rasa orang ramai masih tidak jelas dengan perbezaan di antara ketiga-tiga peranan ini,” katanya kepada K2.
Jack Wang ditemui baru-baru ini ketika dijemput oleh sebuah butik pakaian formal lelaki, Wardrobe Bangsar, Kuala Lumpur dalam program Style Talk with Jack Wang, ‘The Shoe Maker’ bagi mengetengahkan pembuatan kasut buatan tangan.
Mengikut terma, pembuat kasut merupakan mereka yang mahir dalam seni penciptaan kasut termasuk dalam aspek bahan, fungsi dan rekaan.
Pereka kasut pula bertanggungjawab menghasilkan lakaran estetik dan sampel paten yang sesuai dengan permintaan, keperluan serta keselesaan pelanggan.
Sementara itu, cobbler hanya bertanggungjawab membaiki kasut mengikut contoh sedia ada dengan bahan-bahan sama.
Memiliki ketiga-tiga kebolehan tersebut, Jack Wang mengakui, perjalanannya untuk sampai ke tahap itu bukanlah semudah disangka.
Ini kerana, dia tidak memiliki sebarang kelulusan akademik dalam pembuatan kasut, namun bersyukur memiliki bakat semula jadi melukis.

Tambahnya, institusi pengajian tinggi di Malaysia hanya mengajar aspek rekaan kasut dan tidak banyak yang mengetengahkan seni pembuatan kasut itu sendiri.
Situasi itu menyebabkan negara ketandusan pelapis dalam seni pembuatan kasut yang kini rata-ratanya dipelopori oleh golongan sudah berusia.
Lebih parah, kebanyakan kasut yang dibuat mereka juga adalah berdasarkan paten sedia ada dan bukan idea asli.
“Saya memang suka kasut dan memiliki kebolehan melukis rekaan kasut. Pada satu hari, saya hantar lakaran saya ke sebuah kedai pembuatan kasut di Selangor dengan harapan mereka akan hasilkan kasut mengikut rekaan saya.
“Harapan saya meleset apabila mereka tidak mampu menghasilkannya kerana ia bukan dalam bentuk standard seperti yang terdapat di pasaran,” kongsinya.
Atas dasar itu juga, Jack Wang dinasihatkan oleh rakannya untuk mendapatkan khidmat pembuat kasut di Pasar Cibaduyut Bandung, Indonesia pada tahun 2014.
Bermula dari situ, minatnya terhadap seni pembuatan kasut membuak-buak apabila dia melihat kewujudan pelbagai teknik yang kreatif dan kemas.
Bagaimanapun, setelah beberapa bulan belajar dan meneliti seni pembuatan kasut di situ, Jack Wang mendapati kasut di Cibaduyut tidak mencapai piawaian kualiti seperti jenama-jenama mahal.
Ini kerana, material digunakan agak murah supaya selaras dengan permintaan masyarakat umum di situ yang memiliki bajet rendah.
Disebabkan itu, pada tahun sama, bekas pelajar Universiti Jiangxi Normal berkenaan membuat pelaburan dengan membuka sebuah bengkel kasut di Tianjin, China.
Di sana, dia mengupah ‘sifu’ (guru) untuk mengajarnya cara pembuatan kasut berkualiti tinggi di bengkel tersebut.
“Saya tidak mahu sekadar belajar kerana saya perlu tampung kos sara hidup. Jadi, saya laburkan duit dengan buka bengkel.
“Sambil saya belajar, saya juga mengambil upah buat kasut.
“Memandangkan China banyak kilang yang menghasilkan kasut berjenama, teknik dan kemahiran sifu di situ cukup tinggi.
“Bermula dari situ, saya mula dapat peluang membuat kasut bagi jenama dan pereka terkenal melalui sistem original equipment manufacturer (OEM), “ katanya yang pulang ke tanah air pada Disember 2019.
Untuk pengetahuan, OEM merupakan pengeluar produk tanpa jenama dalam kuantiti besar kepada pengusaha lain yang tiada kilang, namun ada jenama.
Mengulas lanjut berkenaan perbezaan kasutnya dengan sepatu berjenama dikeluarkan di kilang, Jack Wang berkata, kasutnya dibuat khas untuk seorang pelanggan sahaja.
Katanya, hasil pengalaman sebagai pembuat kasut OEM, dia mendapati, setiap keluaran kasut dibuat berdasarkan saiz standard yang kebanyakannya berpaksikan kepada saiz kaki orang Barat.
Dari situ, dia berfikir untuk menghasilkan kasut berkualiti tinggi yang betul-betul mengikut kemahuan dan keselesaan pelanggan itu sendiri.
“Kasut umumnya dibuat daripada bahan-bahan asas lebih murah. Kasut-kasut ini jarang dapat memberikan keselesaan kepada pemiliknya.
“Kasut jenama mewah pula sememangnya berkualiti tinggi, namun malangnya terhad dari segi saiz yang sememangnya ikut saiz standard.
“Disebabkan itu, saya tampil sebagai alternatif iaitu kasut eksklusif yang dibuat khas dengan harga mampu milik berbanding jenama besar,” tuturnya yang mengenakan caj ribuan ringgit untuk pembuatan sepasang kasut.
Tidak mahu seni pembuatan kasut lenyap di Malaysia, Jack Wang sering mengadakan bengkel bagi mencurahkan ilmu yang dipelajarinya di perantauan kepada generasi baharu.
Namun Jack Wang mengakui, kebanyakan orang menyertai bengkelnya dengan hajat merasai pengalaman membuat kasut sahaja, bukannya serius mendalami seni itu.
Bagaimanapun, dia faham bahawa tarikan ekonomi terhadap seni pembuatan kasut tidak cukup kuat untuk anak muda tempatan menjadikannya sebagai satu kerjaya.
“Saya dalam usaha untuk mencipta permintaan bagi seni pembuatan kasut.
“Jika ada permintaan, akan ada peluang ekonomi.
“Ini akan menarik minat anak muda untuk menjadikan seni ini satu kerjaya,” ujarnya.
Lebih besar daripada itu, matlamat utama Jack Wang adalah untuk menubuhkan akademi reka bentuk dan pembuatan kasut pertama di Malaysia.
Dengan menyediakan pendidikan boleh diakses, ruang kerja berdedikasi dan komuniti yang berkembang maju, Jack Wang berhasrat untuk merevolusikan industri kasut tempatan.
Dia juga berhasrat untuk meningkatkan standard pertukangan kasut di Malaysia dan antarabangsa.














