fbpx

Dua nelayan warga Myanmar ditahan APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot pukat tunda yang diusahakan dua nelayan warga Myanmar ditahan APMM di Pulau Sangga Besar, Kuala Kurau, Bagan Serai semalam. - Foto IHSAN APMM

BAGAN SERAI – Dua nelayan warga Myanmar dan sebuah bot pukat tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau ditahan di kedudukan 2.4 batu nautika selatan Pulau Sangga Besar di sini sekitar pukul 9.50 malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, bot itu ditahan semasa pasukan operasi sedang melakukan rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang.

Katanya, bot itu dikesan sedang bergerak dan diberhentikan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan seramai dua orang nelayan warga Myanmar termasuk tekong masing-masing berumur 28 dan 40 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah berada di bot itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya dan tiada kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya dan tiada kebenaran penggunaan kru warga asing yang sah,” katanya.

Tambahnya, sebarang aduan dan insiden kecemasan yang berlaku di laut boleh dilaporkan orang ramai kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI