fbpx
Amirudin melawat proses pengundian awal, di Depot Bekalan Pusat, Kor Perkhidmatan Diraja Batu Caves, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

Tawaran ekonomi PN lemah, sebahagian manifesto sudah dilaksana PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOMBAK – Sebahagian manifesto dan tawaran yang dikemukakan Perikatan Nasional (PN) sudah dilaksanakan Pakatan Harapan (PH) dalam penggal sebelum ini.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PN hanya menggunakan sebahagian inisiatif yang telah PH dan disifatkan lemah terutama berkaitan ekonomi.

“Sebagai contoh, bila ditawarkan subsisidi yuran Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) kita sudah laksanakan dua tahun lepas.

“Bila kita tawarkan kenaikan gaji, dia naikkan dengan sedikit perubahan, jadi ia benar kepada anggapan saya bahawa mereka hanya menawarkan program kebajikan.

“Namun, ia tidak salah, tetapi tawaran mereka berkaitan ekonomi agak lemah terutama dalam memulihkan negara dan proses pembangunan semula selepas pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak selepas meninjau proses pengundian di Depot Bekalan Pusat, Kor Perkhidmatan Diraja, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, gerak kerja PH dan Barisan Nasional dalam minggu terakhir kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 berada di landasan yang terbaik.

Menurutnya, perkara itu dapat diterjemahkkan menerusi sokongan-sokongan jelas di akar umbi dan kehadiran rakyat dalam program-program bersama yang diadakan dalam tempoh dua minggu ini.

“Malahan manifesto yang dibentangkan dengan lima tawaran, lima tekad itu juga mendapat sambutan sangat baik.

“Antaranya dalam program baucar buku, insentif muassasah haji serta penjanaan ekonomi dengan pembinaan rel termasuk pembinaan bandar-bandar baharu selain meletakkan Projek Gerbang Maritim Selangor (MSG) sebagai pemangkin utama,” ujarnya.

Mengulas mengenai dakwaan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa lebih banyak program kebajikan dilaksanakan ketika beliau menjadi Menteri Besar Selangor, Amiruddin berpandangan bahawa kenyataan itu tidak tepat.

“Kita juga belanjakan untuk program kebajian dengan peruntukan RM2.3 billion berbanding (Azmin) iaitu RM1.3 billion. Kita belanja lebih daripada dia, termasuk mewujudkan program-program baharu melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Saya juga belanjakan RM1 billion ketika pandemik Covid-19 dan kita berjaya mendapat bajet ‘surplus’ (lebihan) tiga tahun berturut-turut. Itu rekod yang saya boleh kongsi,” jelasnya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN