fbpx

Pemuda sanggup berhenti kerja jaga ibu bapa angkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamri menunjukkan masalah tulang belakang yang dialami sehingga dia mengalami kesukaran untuk bergerak ketika ditemui di kediaman mereka Pengkalan Rinting, Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri bersyukur apabila kasih sayang yang dicurahkan selama ini ‘berbalas’ apabila anak angkatnya sanggup menjaga mereka yang menghidapi pelbagai pe­nyakit sejak 2020.

Kamri Doryat, 64, berkata, kesihatannya terjejas selepas disahkan mengalami masalah paru-paru tersumbat kronik (COPD) dan tulang belakang sejak tiga tahun lalu.

Katanya, isterinya, Faridah Jamal, 65, pula menghidap penya­kit kencing manis dan kaki kanannya terpaksa dipotong sehingga paras lutut.

“Sebelum ini, kami mempunyai seorang cahaya mata, namun telah meninggal dunia pada usia empat tahun.

“Tidak lama selepas pemergiannya, kami telah menjadikan Nur Ikmal sebagai anak angkat,” katanya baru-baru ini.

Katanya, kini hidup mereka bergantung kepada Nur Ikmal, 24, dan pemuda itulah yang akan menyediakan segala kelengkapan mereka suami isteri sebelum keluar bekerja.

“Alhamdulillah, dia sentiasa ada di sisi memberi perhatian terhadap kami dan banyak membantu ketika proses penyembuhan secara berperingkat sehinggalah kami mampu mengurus diri sendiri termasuk membersih­kan diri.

“Sebelum keluar bekerja dia akan pastikan segala-galanya sudah siap tersedia seperti ubat, lampin pakai buang dan keperluan lain. Ketika dia sedang be­kerja, anak saudara kami yang tinggal berhampiran akan menghantar makanan,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Ikmal berkata, keadaan kesihatan bapa dan ibu angkatnya yang merosot menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja sejak Ogos tahun lalu.

Katanya, dia baru kembali bekerja minggu lalu sebagai penjaga parkir dengan gaji RM1,500 sebulan.

“Pasangan suami isteri membesarkan saya sejak kecil dan kasih sayang yang dicurahkan tak berbelah bahagi, saya tak akan lupakan jasa mereka berdua.

“Bapa pernah mengalami lumpuh, manakala ibu pula terlantar sakit, saya tak mampu membiarkan mereka dalam keadaan se­perti itu lalu mengambil keputusan untuk berhenti kerja selama setahun untuk menjaga mereka di rumah,” ujarnya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi di talian 011-2755 7646 atau menghulurkan bantuan ke akaun Kamri Doryat, 0110029853370199 (Bank Simpanan Nasional).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI