fbpx

Kreativiti efek tiga dimensi jadi kekuatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Setiap koleksi dipersembahkan dengan unik dan membentuk gaya signatur tersendiri.

GAYA jalanan sememangnya mempunyai pengikut yang ramai di negara ini, khususnya dalam kalangan generasi muda yang berani membawakan gaya tersebut sebagai gaya harian.

Gaya jalanan yang mula popular sekitar tahun 1990-an merujuk pada pakaian kasual yang selesa seperti kemeja-T grafik, hoodies, sweatpants dan juga kasut sniker.

Jika di awal popularitinya, gaya jalanan lazimnya dikaitkan dengan budaya irama muzik hip hop, namun kini ia semakin diterima umum dan sesuai digayakan oleh sesiapa sahaja.

Minat mendalam terhadap gaya jalanan mendorong seorang anak muda untuk mewujudkan jenama pakaiannya sendiri yang dilihat kini mampu bersaing dengan jenama-jenama pakaian jalanan besar.

Muhammad Ashraf Khairul Anuar atau lebih dikenali sebagai Ashraf Anuar mewujudkan jenama SVG Worldwide pada tahun 2019 dengan mempertaruhkan rekaan unik serta fabrik berkualiti pada setiap helaian dihasilkan dan seterusnya label pakaian itu mampu bersaing dengan jenama-jenama antarabangsa.

Malah, misi utama SVG Worldwide juga adalah untuk berani bereksperimen dengan koleksi mereka, selain cuba untuk lebih mendekati komuniti peminat gaya jalanan di negara ini.

Menyorot permulaan label tersebut, Ashraf mula menceburkan diri dalam dunia perniagaan seawal usia 18 tahun selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan berniaga pakaian bundle Jepun hanya bermodalkan RM100.

Minat mendalam terhadap pakaian bundle mendorong Ashraf untuk menjadi personal shopper atau pembeli peribadi yang seterusnya membolehkan dia untuk mengumpulkan dana sebelum memulakan jenamanya sendiri.

Gaya jalanan yang ditonjolkan dengan seleksi warna hitam dan putih ini memikat hati lelaki dan wanita.

“Saya memulakan kerjaya sebagai personal shopper menerusi akaun Instagram @savagestoremmy yang mana saya akan membuat sesi live bersama pengikut untuk menjual barangan bundle yang saya peroleh dari Jepun.

“Siapa sangka, selepas dua tahun, saya berjaya menjana pendapatan yang agak besar dan mampu membeli kereta pertama serta juga sebuah rumah untuk keluarga saya,” katanya.

Keunikan SVG Worldwide terletak pada kreativiti Ashraf yang menggabungkan efek tiga dimensi atau 3D pada penampilan fesyen jenama tersebut, selain menghasilkan koleksi bersifat edisi terhad.

“Malah, setiap koleksi juga datang dengan gaya signatur yang tersendiri bagi menjadikannya unik dan membolehkan pemakai untuk sentiasa mengingati gaya yang dipertaruhkan,” ujarnya.

Tidak hanya tertumpu kepada rekaan, Ashraf juga amat menitikberatkan keselesaan para pemakai dengan menggunakan fabrik yang bukan sahaja selesa tetapi juga bermutu tinggi.

Seleksi warna seperti hitam, putih dan juga coklat dalam kebanyakan rekaan jenama itu juga menjadikan setiap koleksi tampak eksklusif dan sesuai dipadankan dengan busana sedia ada.

Pakaian seperti kemeja-T bermotif, jaket varsiti dan juga jersi untuk lelaki dan wanita pula adalah antara rekaan paling diminati orang ramai daripada jenama itu.

Sebagai pelengkap gaya, SVG Worldwide turut memperkenalkan variasi aksesori seperti lanyard, rantai kunci dan juga sarung telefon bimbit untuk digayakan pemakai yang pastinya mampu menyerlahkan lagi estetika jenama itu.

Koleksi jenama itu boleh dilihat dan didapatkan menerusi laman web www.svgworldwide.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI