KUALA LUMPUR – Seramai 1,832 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasangan terlibat dengan pengundian awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, di Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan AM (PGA) Cheras, di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, angka tersebut melibatkan 1,031 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan masing-masing.
Katanya, baki daripada jumlah itu pula mewakili anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) iaitu seramai 801 orang.
“Perjalanan (buang undi) pagi ini alhamdulillah, berjalan dengan lancar. Apa yang saya lihat suasana aman dan terkawal. Kita lihat pukul 8 pagi sudah penuh anggota hadir, dijangkakan pukul 12 tengah hari akan selesai” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pusat pengundian awal di Dewan Kompleks Perdana FRU Cheras, di sini, hari ini.
Sebelum itu, beliau tiba di Markas Briged Tengah PGA Cheras pada pukul 7.45 pagi diiringi Komander PGA Briged Tengah Cheras, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit sebelum meninjau pusat pengundian.
Ayob Khan kemudian disambut Komander FRU, Senior Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim sebelum berangkat ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam pada pukul 9 pagi tadi bagi meninjau proses pengundian di sana.
Dalam pada itu, beliau menasihati semua anggota supaya keluar menunaikan tanggungjawab lebih awal, hari ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seramai 47,728 anggota PDRM dan pasangan dijangka terlibat mengundi awal sempena PRN di enam buah negeri, esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, sebanyak 260 tempat mengundi dengan 377 saluran mengundi diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pusat pengundian awal. – KOSMO! ONLINE