fbpx

Lebih 600 klinik swasta berdaftar bawah Skim Perubatan Madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penglibatan komuniti di bawah Skim Perubatan Madani di Kajang, Selangor.

PETALING JAYA – Lebih 600 klinik swasta berdaftar di bawah Skim Perubatan Madani sehingga 1 Ogos lalu dan dijangkakan meningkat pada masa akan datang.

Syarikat pelaksana, ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) dalam kenyataannya berkata, pihaknya secara proaktif mengadakan sesi libat urus dengan wakil-wakil negeri terlibat sejak skim tersbut diperkenalkan,

“Antaranya (libat urus) agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan-pertubuhan serta pemimpin komuniti di seluruh negara.

“Tumpuan utama adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang manfaat skim ini dan usaha untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan rawatan primer akut di sektor swasta bagi golongan berpendapatan rendah.

“Sehingga kini, lebih 28,000 isi rumah kumpulanB40 mendapatkan rawatan di bawah Skim Perubatan Madani,” kata kenyataan itu.

Menurut ProtectHealth, Skim Perubatan Madani menyediakan rawatan pesakit luar kes akut secara percuma kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Ia melibatkan golongan berpendapatan rendah dan mereka boleh mendapatkan rawatan di klinik perubatan swasta (GP) yang berdaftar di bawah skim tersebut.

“Antara wakil terlibat adalah Yayasan Wilayah Persekutuan, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) dan beberapa agensi lain.

“Setakat Julai 2023, ProtectHealth mengadakan taklimat kepada 70 Klinik Kesihatan (KK) dan 186 klinik GP di 10 daerah.

“Dalam masa sama, enam taklimat diadakan kepada Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Projek Perumahan Awam (PPA) dan komuniti setempat yang mempunyai kepadatan penduduk B40 yang tinggi seperti PPR Pangsapuri Sri Kasih, PPR Taman Kajang Sentral dan PPR Taman Medan Jaya,” jelasnya.

Dalam kenyataan sama, ProtectHealth berkata, skim tersebut dalam perancangan untuk diperluaskan ke daerah lain termasuk di Kelantan (Kota Bharu dan Pasir Mas), Terengganu (Kuala Terengganu dan Kuala Nerus), Pahang (Kuantan) dan Melaka (Melaka Tengah). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI