fbpx

[VIDEO] Tangisan dua beradik iring jenazah 3 beranak ke liang lahad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah tiga beranak disemadikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Tok Johol, Kampung Badak di Kota Bharu, sebentar tadi. Foto KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Suasana sedih menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Tok Johol, Kampung Badak, di sini, sebentar tadi apabila dua anak kepada mangsa yang maut dihempap sebatang pokok di Kok Lanas, semalam, menangis memanggil umi dan baba semasa urusan pengebumian ibu bapa mereka.

Nik Adelia Zulaikha Nik Mohd. Zulmi, 11 dan adiknya, Nik Adam Zarif, 9, yang selamat semasa nahas itu ditenangkan oleh ibu saudaranya ketika melihat jenazah bapa, Nik Mohd. Zulmi Ramli, 44, bersama ibu, Nik Amirah Ab. Rahman, 40, dan adik bongsu mereka, Nik Aishah Azzahra, 5, masuk ke liang lahad.

Ibu mangsa, Amnah Ismail, 64, berkata, dia bersyukur kerana upacara pengebumian anak perempuannya, menantu dan cucu, berjalan mengikut perancangan.

Menurutnya, dia dimaklumkan oleh anak-anaknya yang lain bahawa urusan bedah siasat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian turut berjalan lancar tanpa sebarang masalah sebelum dibawa balik ke rumah untuk urusan solat jenazah.

“Alhamdulillah, jenazah tiga beranak itu selamat dikebumikan dalam satu kubur kira-kira pukul 6.30 petang tadi. Saya tidak dapat menahan sebak apabila kedua-dua cucu saya menangis sambil bertanya mengenai umi dan babanya.

“Kedua-duanya tidak putus-putus bertanya mengenai keadaan orang tua mereka sejak pagi tadi,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Tok Johol, Kampung Badak, Kok Lanas, di sini hari ini.

Nik Adam Zarif (tengah) ditenangkan oleh ibu saudaranya semasa urusan pengebumian ibu, bapa dan adiknya di Tanah Perkuburan Islam Tok Johol, Kampung Badak di Kota Bharu, sebentar tadi. Foto KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Amnah berkata, selepas ini dia akan menjaga kedua-dua cucunya dan mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong 2, di sini selepas ini.

Katanya, dia akan sentiasa menemani Nik Adelia Zulaikha dan Nik Adam Zarif untuk menenangkan kedua-dua beradik itu yang amat sedih dengan kejadian tersebut.

“Nik Adelia Zulaikha sangat rapat dan manja dengan ibunya. Itu yang membuat dia masih belum dapat menerima kenyataan bahawa telah kehilangan ibu bapanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI