fbpx

Jadi baik lepas tahu anak angkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Akmal kini menjadi pemuda budiman serta anak yang baik kepada kedua-dua ibu bapa kandung dan angkatnya. – GAMBAR HIASAN

SEJAK kecil, dirinya boleh diumpamakan sebagai anak raja yang hidup serba mewah.

Sebut sahaja apa keinginannya, perkara itu pasti akan ditunaikan oleh kedua-dua ibu bapanya.

Tambahan pula, Akmal (bukan nama sebenar), 35, merupakan anak tunggal dan ditatang bagai minyak yang penuh serta mendapat perhatian sepenuhnya.

Bagaimanapun, satu perkara yang dahulunya Akmal tidak tahu bahawa dia merupakan anak angkat yang diserahkan oleh keluarga kandungnya sejak dia bayi.

“Saya diserahkan oleh keluarga kandung yang merupakan sepupu kepada ibu (ibu angkat) selepas sebulan dilahirkan.

“Sepanjang membesar, saya tidak pernah tahu tentang perkara tersebut, namun perkara itu terbongkar disebabkan satu insiden yang berlaku semasa di sekolah menengah,” katanya ketika dihubungi Panorama baru-baru ini.

Tambahnya, perkara itu merupakan momen yang tidak dapat dilupakan oleh dirinya dan ia turut mengubah hidupnya menjadi insan yang lebih baik.

Kongsi Akmal, sepanjang membesar, dia memang dimanjakan dengan wang ringgit memandangkan kedua-dua ibu bapanya merupakan usahawan yang berjaya.

Bagaimanapun, semakin maju perusahaan mereka, Akmal banyak dibesarkan dengan kebendaan sebagai pengganti perhatian mereka.

“Kehidupan saya pada masa itu boleh dikatakan seperti filem Anakku Sazali yang mana jika keinginan saya tidak dipenuhi, saya akan memberontak.

“Malah, kalau saya menipu untuk mendapatkan wang lebih, ibu dan ayah akan beri sahaja tanpa usul periksa,” ujarnya.

Cerita Akmal lagi, sikapnya menjadi lebih teruk semasa di sekolah menengah apabila dia menjadi pembuli.

Ibu bapa Akmal sering dipanggil ke sekolah berikutan dia sentiasa menimbulkan kekacauan, malah merosakkan harta benda guru.

Katanya, ibu dan bapanya mula menyedari bahawa dirinya sudah tidak terkawal. Mulanya mereka cuma mendisplinkan dia dengan mengenakan hukuman, memotong wang belanja dan macam-macam lagi.

Namun, semuanya sia-sia, malah Akmal menjadi semakin memberontak dan menimbulkan lebih banyak masalah.
Hingga pada suatu hari, bapanya sudah tidak tahan dan kemarahannya membocorkan rahsia yang dipendam dalam keluarga itu.

“Ayah memang marah besar kerana saya ditangkap merosakkan kereta guru-guru. Pulang sahaja dari sekolah, kami bergaduh dan ayah meluahkan segalanya bahawa saya merupakan anak angkat.

“Saya terkejut dengan kata-kata ayah dan awalnya tidak percaya. Pada hari itu juga ayah mengheret saya ke rumah ibu bapa kandung untuk membuktikannya,” kongsi Akmal.

Kemarahan bapanya membuatkan dia memutuskan untuk menghukum Akmal dengan hukuman yang tidak diduga olehnya.

Akmal diserahkan untuk tinggal bersama keluarga kandungnya yang hidup serba kekurangan.

Dahulu, Akmal diserahkan kerana keduanya tidak mampu untuk menjaganya yang merupakan anak kelima dan paling bongsu dalam keluarga itu.

Kehidupan Akmal pada ketika itu berubah 100 peratus. Daripada tinggal di rumah banglo, dia kini menetap di rumah kayu di kampung.

Ibu bapa angkatnya memang tidak ambil tahu tentang Akmal dan membiarkan dia belajar hidup susah.

Awalnya Akmal tidak boleh menerima keadaan itu, malah dia benci dan malu dengan keluarga kandungnya kerana hidup serba kekurangan.

Namun, kekurangan itu juga yang menarik dia berpijak di bumi yang nyata.

Dia tidak dapat memberontak seperti dahulu kerana ketegasan abang-abang dan ibu bapa kandungnya.

“Pernah saya meninggikan suara dengan ayah kandung, tetapi selepas itu melayang penampar dari abang, hal itu membuatkan saya tidak lagi berani untuk melawan mereka.

“Ketika di sekolah baharu pula, saya menjadi mangsa buli kerana miskin, baju lusuh dan beg juga penuh dengan jahitan tampal,” ceritanya.

Situasi itu membuatkan Akmal insaf dan menyesal akan sikapnya. Hampir setahun tinggal dengan keluarga kandung, dia mula berubah dan hal itu diketahui oleh ibu bapa angkatnya.

Rupanya selama ini, mereka juga memantau keadaan Akmal dan mahu dia betul-betul berubah.

Ibu bapa angkat Akmal juga kembali menjenguk dirinya dan selepas melihat perubahan Akmal, mereka kembali menerimanya dan membawanya pulang.

Selepas kejadian itu, Akmal menjadi insan yang bertanggungjawab, anak yang patuh dan tidak lagi memberontak.

Dia juga kerap pulang ke rumah keluarga kandung di kampung dan menjenguk ibu bapa dan adik beradik di sana.

Malah, selepas Akmal bekerja dia turut membantu dan berbakti kepada kedua-dua keluarganya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI