fbpx

Dua lelaki termasuk warga emas dicekup ketika punggah ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Taufik (tengah) menunjukkan ketulan mampat ganja yang diseludup dari negara jiran pada sidang akhbar di IPD Kubang Pasu, Jitra hari ini.

JITRA – Cubaan dua lelaki termasuk seorang warga emas mengedar hampir 53 kilogram (kg) dadah jenis ganja yang disyaki diseludup dari negara jiran gagal apabila mereka dicekup dalam serbuan di sebuah pasar raya di sini pada Khamis lalu.

Suspek yang berusia 52 dan 68 tahun itu diberkas ketika leka memindahkan 50 bungkusan dadah tersebut kira-kira pukul 6.50 petang di tempat letak kenderaan di pasar raya berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Taufik Maidin berkata, kedua-dua suspek yang berasal dari Kangar, Perlis dan Jitra itu sedang memunggah ketulan dadah yang disembunyikan di bonet hadapan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV.

“Hasil pemeriksaan mendapati 50 ketulan mampat disyaki ganja dengan berat 52,512 kg bernilai RM162,750 itu disusun di bahagian bonet enjin kenderaan dengan beralaskan kertas kotak.

“Kedua-dua mereka yang negatif urin ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya
pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini hari ini.

Kata beliau, susulan tangkapan itu, pemeriksaan lanjut dibuat ke atas rumah suspek di Kangar dan Kuala Perlis seterusnya merampas wang tunai sebanyak RM2,520 serta wang Thai Bhat (RM295.30) termasuk lima kenderaan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM182,815.

Menurutnya, dadah itu dipercayai untuk pasaran Lembah Klang dan jika terlepas, ia boleh dibekalkan kepada kira-kira 200,000 penagih. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI