fbpx

Lelaki ditahan, kasari individu guna sebatang besi di Danau Desa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tersebut yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan terima padah apabila ditahan polis selepas mengasari individu lain menggunakan sebatang besi di kawasan Taman Danau Desa, di sini, Selasa lalu.

Video insiden berkenaan yang berdurasi satu minit 26 saat telah dimuat naik oleh seorang pengguna di Twitter dan tular sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfield, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya telah mengesan video terbabit sekitar 12.15 tengah hari semalam.

Jelasnya, satu laporan berhubung kejadian telah diterima dan dibuat oleh pengadu, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun.

“Kejadian dipercayai berlaku pada 31 Julai 2023, lebih kurang pukul 9.55 pagi di kawasan Taman Danau Desa Kuala Lumpur.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Amihizam, tangkapan ke atas suspek yang berusia 45 tahun telah dijalankan pada Selasa lalu.

“Tempoh tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah telah diperoleh selama tiga hari daripada Majistret Kuala Lumpur.

“Kertas siasatan akan diedar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur untuk mendapatkan arahan lanjut,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau juga meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung dengan video tular terbabit.

“Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI