fbpx

Caprice mohon maaf, kes saman fitnah SM Faisal selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Caprice (kot biru) dan S.M Faisal (baju putih) masing-masing ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah antara ahli perniagaan terkenal, Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin Kamal terhadap penyanyi rap Caprice akhirnya selesai secara baik di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Saman fitnah itu berhubung hantaran berbaur fitnah yang dibuat selebiriti itu di laman Instagramnya mengenai kes Emilia Hanafi yang juga bekas isteri S.M Faisal.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili S.M Faisal selaku plaintif selepas prosiding kes dalam kamar di hadapan Hakim Azian Othman.

“Hari ini kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman ini. Antara terma-terma utama penyelesaian itu antaranya membabitkan permohonan maaf yang perlu dibuat defendan (Caprice) dalam tempoh 48 jam.

“Namun terma-terma lain yang telah dipersetujui termasuk kos tidak boleh didedahkan secara terperinci,” kata peguam itu

Sementara itu S.M Faisal ketika ditemui pula berkata beliau gembira kes saman fitnah itu akhirnya dapat selesai secara baik.

Dalam pada itu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 36, berkata dan mengesahkan dia akan memuat naik permohonan maaf terhadap plaintif dalam Instagram miliknya.

Semasa prosiding Caprice diwakili peguam Harjoth Singh.

Hari ini adalah ditetapkan bagi pihak-pihak memaklumkan mengenai penyelesaian penuh kes saman fitnah itu, yang mana kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelesaikannya melalui penghakiman persetujuan.

Sebelum ini dalam prosiding terdahulu Caprice ada meminta supaya anak guamnya menarik balik kes saman itu. Bagaimanapun sebelum kes saman itu ditarik, pihak-pihak perlu mempunyai persetujuan.

Ia antaranya membabitkan permohonan maaf dan kos persetujuan kerana itu adalah perlu bagi membolehkan mahkamah merekodkan penghakiman untuk keadilan kedua-dua belah pihak.

Pada prosiding pengurusan kes sebelum ini, Mahkamah Sesyen sama telah menetapkan tiga hari bermula Oktober ini bagi perbicaraan kes saman fitnah itu. Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 4 hingga 6 Oktober ini.

S.M Faisal, 43, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen di sini menerusi Tetuan Akberdin & Co. pada 15 Ogos tahun lalu dengan menamakan Caprice sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan S.M Faisal berkata, pada 27 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan Emilia, 43, yang juga menjalani hukuman penjara tujuh hari kerana gagal mematuhi perintah komital mahkamah.

Plaintif mendakwa insiden itu kemudian dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu dengan niat mala fide (niat jahat) tanpa sebarang rujukan atau klarifikasi daripada pihak plaintif.

Kata plaintif, sehari selepas itu, defendan dengan niat sama turut mengherdik, mencemuh dan memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video atau hantaran melalui Instagramnya pada 28 Jun tahun sama.

Ujar plaintif, tindakan defendan itu menyebabkan plaintif berasa tertekan dari segi emosi selain cemuhan dan gangguan daripada pihak-pihak yang ada kaitan atau menyokong kempen untuk menjatuhkan plaintif.

Dalam pada itu, plaintif turut mendakwa hubungannya dan keluarga serta fokus kerjayanya juga terkesan dan terganggu.

Pernyataan saman itu turut menyebut hantaran fitnah itu mengakibatkan plaintif mengalami keaiban, penghinaan, cemuhan, tohmahan, cacian, ejekan atau kebencian dalam kalangan masyarakat.

Justeru plaintif memohon suatu perintah injunksi mandatori terhadap defendan untuk mengeluarkan atau memadamkan hantaran fitnah tersebut yang diterbitkan, dimuat naik, disebarkan atau disiarkan yang mengandungi kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif.

Selain itu, plaintif turut menuntut suatu injunksi kekal menghalang defendan sama ada oleh dirinya sendiri, sekutunya, ejennya atau sesiapa sahaja daripada memuat naik, menyebarkan, menyiarkan,menerbitkan, mengedarkan atau menghebahkan dengan apa cara sekalipun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI