PETALING JAYA – Sistem permohonan dan pembaharuan visa pekerja mahir asing, Xpats Gateway kini diperluaskan dengan penambahan 10 lagi Agensi Kawal Selia dan Agensi Pelulus bermula 31 Julai lalu.
Antara 10 agensi tersebut termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Radio Televisyen Malaysia, Majlis Sukan Negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Lembaga Arkitek Malaysia.
Turut tersenarai Lembaga Jururawat Malaysia, Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, Perbadanan Filem Nasional, Persatuan Ekuastrian Malaysia serta Persatuan Lumba Kuda Malaya.
Perluasan dan penambahan agensi tersebut diumumkan semasa lawatan kerja Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang ke TalentCorp Isnin lalu.
Pada lawatan kerja itu juga, Zaini turut mengambil maklum usaha-usaha TalentCorp dalam aspek pengurusan kemudahan Pas Penggajian Ekspatriat.
Jelasnya, usaha tersebut sekali gus akan dapat membantu meyakinkan pelabur terkemuka untuk melabur ke dalam negara.
“Saya yakin bahawa TalentCorp boleh terus membantu industri dalam memudah cara pengurusan pengambilan ekspatriat berkemahiran tinggi untuk bekerja di Malaysia.
“Seterusnya ia mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara dengan kredibilitinya ke arah pembangunan negara yang mesra perniagaan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew berkata, kerjasama rentas kementerian dan agensi itu akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hub bakat berkemahiran tinggi.
“Dengan sokongan dari KSM, kami akan terus komited dalam memastikan kelestarian ekosistem bakat dan tempat kerja terus mampan dalam memacu ekonomi negara,”ujarnya.
Sebagai makluman, sistem Xpats Gateway diuruskan sepenuhnya oleh TalentCorp yang juga agensi di bawah KSM dan mula beroperasi pada 15 Jun lalu.
Sistem untuk memudah cara pemprosesan Pas Penggajian Ekspatriat itu beroperasi secara berperingkat dengan penglibatan 11 Agensi Kawal Selia dan Agensi Pelulus sebelum ini. – KOSMO! ONLINE