PETALING JAYA – Peningkatan jumlah pesakit selain kekurangan jururawat menjadi antara punca berlakunya kesesakan di hospital-hospital swasta di seluruh negara sejak kebelakangan ini.
Keadaan semakin membimbangkan apabila kebanyakan pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan ketika ini adalah mereka yang dijangkiti wabak influenza.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, masalah yang dihadapi oleh hospital ialah apabila tempoh menunggu untuk mendapatkan katil menjadi lebih lama ekoran berlakunya pertambahan pesakit sedangkan jumlah jururawat tidak mencukupi.
“Apabila jururawat tidak cukup, kita tidak dapat membuka wad. Sebab itu berlaku kesesakan di zon kecemasan dan ada pesakit yang tidak dapat dimasukkan ke wad.
“Untuk mengatasi masalah ini, kami telah berhubung dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memberi ruang kepada hospital swasta mengambil jururawat daripada luar negara.
“Ia hanya bersifat sementara iaitu selama tiga tahun dan diharapkan selepas tempoh itu, ada peningkatan jururawat tempatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini masalah itu belum diselesaikan kerana pihaknya masih tidak menerima sebarang kata putus dari KKM berhubung cadangan berkenaan.
“Memang mustahil untuk membuka wad sekiranya tidak mempunyai jururawat yang mencukupi. Masalah itu menyebabkan ada pesakit yang perlu menunggu sehingga lapan ke 10 jam untuk mendapatkan katil di hospital swasta.
“Ada beberapa kes sekiranya wad penuh, kita perlu tunggu sehingga ada pesakit yang discaj daripada wad, baru pesakit lain boleh mendapat tempat di wad.
“Masalah ini bukan sahaja berlaku di Lembah Klang, malah di hampir kebanyakan hospital di seluruh negara,” ujarnya.
Tambah beliau, setakat ini sebanyak 154 hospital swasta berdaftar di bawah Persatuan Hospital Swasta Malaysia.
Kuljit berkata, perkara itu sudahpun dibangkitkan beberapa tahun kebelakangan, terutamanya selepas dunia dan negara dilanda pandemik Covid-19.
“Buat masa ini, hanya jururawat dengan kepakaran khas sahaja dibenarkan dibawa masuk ke negara kita, tetapi itu bukan yang diperlukan ketika ini.
“Kita perlukan jururawat biasa supaya dapat memenuhi syarat Akta Perkhidmatan Hospital Swasta di mana syaratnya kita perlukan jumlah jururawat yang mencukupi sebelum membuka wad untuk pesakit,” katanya.
Susulan itu, katanya, pihak persatuan berharap agar keputusan dan pelaksanaan kerajaan untuk memperhalusi dan mempertimbangkan perkara ini perlu dilaksanakan secepat mungkin.
Terdahulu, tular beberapa perkongsian daripada orang ramai di media sosial mengenai kesukaran mereka untuk mendapatkan rawatan apabila kebanyakan hospital swasta dilaporkan penuh.
Kebanyakan pesakit yang berdepan masalah untuk mendapatkan katil di hospital berkenaan adalah berkaitan wabak influenza yang dikaitkan dengan punca berlakunya kesesakan di hospital-hospital berkenaan.














