fbpx
ALICIA AMIN

Alicia Amin tolak provokatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUDAH usai tempoh edah, pelakon dan model tinggi lampai itu sebenarnya enggan terlalu bercerita soal isi hati, apatah lagi jika ada misi mencari pengganti bekas suami, Dr. Farzan Iqbal.

Alicia Amin atau nama lengkapnya, Raja Alicia Raja Amin lebih selesa berbicara tentang perjalanan karier lakonannya yang semakin bercambah dan menampakkan hasil.

Sungguhpun begitu, jelitawan berusia 28 tahun itu tidak lokek berkongsi sisi peribadi kerana baginya, selagi menggalas peranan atau status selebriti, setiap inci tindak-tanduknya pasti menjadi sorotan khalayak.

“Buat masa sekarang, memang saya tidak bercinta dengan mana-mana lelaki. Lagipun, baru sahaja habis tempoh edah dan saya tidak mahu terlalu mencanang perihal yang masih tiada hujung pangkal.

buat masa sekarang Alicia mengakui masih solo tanpa kekasih dan belum merancang untuk mencari pengganti bekas suami.

Mahu teman muda

“Saya selesa dengan kehidupan sekarang yang masih sendiri. Berstatus janda, itulah realitinya saya sekarang.

“Tidak kisahlah orang ingin berkata apa pun dan bertanggapan wanita janda itu sesuatu yang bersifat negatif, itu terpulang.

“Untuk saya sebagai wanita mandiri atau independen, memang tiada masalah langsung dengan gelaran diberikan masyarakat itu,” kongsinya kepada Pose.

Hanya sempat bergelar isteri untuk tempoh singkat iaitu sekitar dua tahun tanpa cahaya mata, anak seni kelahiran Johor Bahru itu bagaimanapun tidak menolak andai jodoh lain datang dalam waktu terdekat atau harus ditunggu lebih lama.

“Kalau tanya bagaimana kehidupan saya sekarang, tidak banyak yang boleh dikongsikan sebab memang membosankan. Kalau ingin divisualkan dalam bentuk drama, memang tak laku.

“Saya masih tiada teman lelaki seperti apa yang saya beritahu awal tadi. Tetapi, semestinya saya ingin hidup berteman seperti dahulu.

Foto IHSAN ALICIA AMIN

“Kalau boleh, saya inginkan boyfriend (teman lelaki) muda,” katanya tertawa.

Selepas bercerai dengan Farzan pada 1 Mac lalu, Alicia mengakui kehidupannya sedikit sunyi, namun dia semakin mengerti makna kehidupan dan mendepani apa yang mendatang dengan lebih rasa tanggungjawab.

“Saya tidak pernah menyesal berkahwin, namun apa yang terjadi membuatkan saya lebih matang dalam membuat keputusan.

“Matang dalam mendahulukan kebahagiaan sendiri sebelum berfikir tentang orang lain,” turut Alicia yang merupakan pemegang ijazah jurusan Psikologi Dalam Kerja Sosial dari Universiti RMIT, Melbourne, Australia.

Diajak berbicara tentang isu semasa, bekas peserta Asia’s Next Top Model musim kelima itu bersahaja mengutarakan pandangan tentang industri kreatif tanah air yang dirasakan masih banyak kelompongan dan kesan terhadap pertumbuhan dan ekonomi negara.

Sedar diri dan ruang. Sebagai pelakon dan figura popular, Alicia percaya bahawa segala tindak-tanduk pasti tidak terlepas daripada menjadi percakapan orang sekeliling.

Matty Healy, fanatik agama

Sebagai individu yang cakna tentang isu dunia hiburan, Alicia berharap khalayak sedar bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang penduduknya berbilang bangsa.

“Kita ada lebih 30 juta penduduk di Malaysia, namun banyak kekangan atau halangan yang membuatkan industri seni muzik atau kreatif tidak berkembang maju.

“Ada kelompok individu yang beranggapan bahawa penganjuran konsert artis antarabangsa tidak membawa untung kepada ekonomi negara.

“Singapura yang negaranya kecil dan tidak banyak tarikan, namun pemimpin mereka berpandangan jauh.

“Siapa yang untung sekarang bila artis antarabangsa seperti Coldplay buat konsert sampai enam hari berturut-turut di Singapura? Tepuk dada, tanya selera,” tutur Alicia.
Wanita berdarah kacukan Melayu, Cina dan Jerman itu turut melontarkan pendapat berbaur sinikal buat sebilangan ekstremis dan fanatik agama yang merasakan mereka sahaja yang betul dalam berbicara.

ALICIA tidak bersetuju dengan pandangan golonga fanatik agama yang mudah menggelupur berhubung konsert artis luar negara di tanah air.

“Bagaimana artis luar berkelas ‘papan atas’ nak bikin konsert di Malaysia kalau menerima protes apabila mahu ke sini?

“Kalau nampak perempuan seksi sedikit, habis menggelupur,” katanya.

“Ada segelintir individu, tengok uniform jururawat pun rasa tercabar atau triggered. Industri hiburan sebagai sumber ekonomi dipandang sebelah mata.

“Kalau begitu, jangan pernah bermimpi ingin jadi seperti Korea Selatan sekarang yang mendunia disebabkan muzik dan filem mereka,” tuntasnya.

Alicia juga terpanggil mengulas isu kebobrokan yang dicetuskan kumpulan The 1975, terutama vokalisnya, Matty Healy.

“Saya langsung tidak sokong tindakan mereka. Orang putih itu buat keadaan susah kepada sekelompok masyarakat di sini.

“Datang sini, perlu bertoleransi dengan budaya dan undang-undang. Mereka pula bawa perangai buruk dan berlagak seperti hero pulang ke negara asal,” ucapnya sinis.

Berpandangan jauh, Alicia melihat industri seni kreatif sebagai sumber ekonomi yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Lakonan

Berkongsi tentang karier lakonan, Alicia baru sahaja tamat penggambaran sebuah naskhah untuk platform media Over-the-top, Amazon Prime bersama barisan pelakon seperti Siti Saleha, Aiman Hakim dan Hisyam Hamid.

“Sekarang memang sibuk berlakon. Modeling tidak sangat. Drama Persepsi sekarang sedang rancak ditayangkan di Astro Ria.

“Tahun 2023 saya juga berlakon drama Perempuan Itu tayangan TV3 yang meraih respons positif dalam kalangan penonton. Perlahan-lahan saya ingin membina karier sebagai pelakon dengan lebih serius,” tutup finalis Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) dalam nada penuh optimis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN