fbpx

Barisan calon PN lebih hebat, bergaya – Sanusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan calon PN bagi PRN Kedah yang diumumkan pada Majlis Pengisytiharan Calon PN bagi DUN Kedah di Kompleks Pas di Kota Sarang Semut, dekat Alor Setar. Foto oleh SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Perikatan Nasional (PN) Kedah membariskan 36 calon daripada sekurang-kurangnya 12 kluster kepakaran dan kemahiran dalam misi memajukan Kedah sebagai ‘The Greater Kedah’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, semua calon tersebut diyakini mampu membawa Kedah kepada negeri maju berasaskan Pelan Pembangunan Kedah 2035, selain menggalas amanah diberikan dengan sebaiknya.

“Calon-calon yang kita perkenalkan seorang demi seorang sebentar tadi datang daripada pelbagai bidang, rentas sektor, pengalaman selain pelbagai peringkat usia.

“Inilah adunan, inilah ramuan dan resepi sumber manusia yang akan memimpin PN dan menjayakan gagasan (Pelan Pembangunan) Kedah 2035,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Kompleks Pas di Kota Sarang Semut, di sini malam semalam.

Kata beliau, calon-calon tersebut juga dilihat lebih hebat dan bergaya berbanding senarai calon Barisan (Nasional) dan Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan secara berasingan sebelum ini.

“Mereka yang kita angkat menjadi calon dalam PRN Kedah ini adalah orang yang kita yakin dan percaya mereka akan mampu menggalas amanah dan menjadi tempat setiap rakyat Kedah sandarkan harapan.

“Selain itu, mereka juga akan menjadi pembela kepada rakyat negeri yang miskin, menjayakan gagasan Kedah negeri tempat orang miskin boleh berteduh dan negeri tempat orang kaya menabur bakti,” ujarnya.

Menteri Besar Kedah itu akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri bagi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Calon lain yang menarik perhatian adalah dua legenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din serta Baddrol Bakhtiar yang masing-masing akan bertanding di Alor Mengkudu dan Gurun.

Dua ahli akademik turut diangkat sebagai calon iaitu bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr Haim Hilman Abdullah serta Dekan Kejuruteraan Alam vSekitar di Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Ts. Muhammad Suffian Yusoff. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI