SEBAGAI warga kota bekerjaya yang tinggal di Lembah Klang, Mohd. Nadlie Nazrin Ismail, 40, hanya mempunyai masa ketika cuti hujung minggu untuk membawa keluarga bersiar-siar.
Selain mengunjungi pusat beli-belah di sekitar Kuala Lumpur, sesekali dia membawa keluarganya berkunjung ke pusat-pusat rekreasi untuk beriadah sambil menghirup udara segar.
Malah, dia juga sudah merancang untuk berkelah bersama keluarga dan rakan-rakan sepejabat di kawasan perkelahan Sungai Congkak di Hulu Langat, Selangor dengan membuat tempahan chalet pada 8 Julai lalu.
“Biasanya, kalau ingin melakukan aktiviti riadah, saya memilih untuk berkelah di kawasan sungai terutama di sekitar Hulu Langat kerana selain lokasinya popular, udaranya juga sangat bersih dan air sungai amat menyegarkan.
“Malah, kebanyakan warga kita yang tinggal di sekitar ibu kota akan memilih untuk berkunjung ke Hulu Langat jika ingin mandi-manda di sungai.
“Cuma, untuk sementara waktu ini, saya cadangkan kepada rakan-rakan untuk menangguhkan dulu perancangan kami untuk berkelah di sungai disebabkan cuaca yang kerap hujan di sekitar ibu kota hampir setiap hari ketika ini,” katanya.
Jelas Nadlie, keputusan itu terpaksa diambil demi keselamatan mereka kerana hujan lebat yang berlaku berisiko menjadi punca kejadian kepala air di kawasan sungai di Hulu Langat.
Kebimbangan tersebut turut disuarakan Mohd. Bukhari Adnan, 44, dengan memberitahu, dia turut membatalkan hasratnya untuk berkelah di Pusar Rekreasi Ulu Bendul yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada hujung minggu lalu.
Dia yang tinggal di Taman Teknologi Kajang, Kajang, Selangor, turut enggan merisikokan keselamatan dirinya dan keluarga ketika berkelah dan mandi-manda di pusat rekreasi itu sekiranya berlaku kejadian kepala air di situ.
“Saya ada menghubungi seorang rakan yang tinggal di Seremban sehari sebelum berkelah di sana, dan diberitahu hampir setiap petang hujan akan turun di sekitar kawasan berkenaan dan di sekitar Ulu Bendul.
“Memandangkan kawasan Ulu Bendul terletak di kawasan berbukit, jadi saya tangguh dulu hasrat berkelah di sana sehingga keadaan cuaca kembali pulih.
“Apabila mengenangkan kejadian kepala air yang meragut 10 nyawa di Jeram Mawar, Air Putih, di Kemaman, Terengganu baru-baru ini, saya berasa sangat bimbang jika kejadian sama berlaku,” katanya.
Pada 2 Julai lalu, negara dikejutkan dengan kejadian 10 pengunjung termasuk sembilan sekeluarga yang dilaporkan hilang selepas Jeram Mawar, Air Putih di Kemaman dilanda kejadian kepala air.
Sembilan daripada mereka disahkan meninggal selepas ditemui dengan mayat masing-masing dijumpai di lokasi berasingan, manakala seorang lagi individu masih gagal ditemui.
Hakikatnya, tragedi kepala air bukanlah satu perkara asing di negara ini, malah diibaratkan sebagai ‘bom jangka’ yang boleh berlaku tanpa terduga di sungai terutama yang terletak di kawasan berbukit sehingga mengorbankan nyawa.
Sebagai contoh, pada 2 September 2022, seramai 32 pengunjung yang sedang berkelah di Lata Payung, Ulu kasar, Sungai Tong, di Setiu, Terengganu dilaporkan terperangkap selepas pusat rekreasi itu dilanda kepala air akibat kejadian hujan lebat yang berlaku.
Walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun kejadian itu mengakibatkan kerugian kepada mangsa apabila enam buah kenderaan ditenggelami air.

Dalam kejadian kepala air di kawasan peranginan Air Terjun Seri Perigi di Yan, Kedah pada 19 Ogos 2022 pula, tiga mangsa dilaporkan terkorban apabila banjir kilat seakan tsunami akibat hujan lebat telah melanda beberapa buah kampung di kaki Gunung Jerai, di situ.
Manakala dalam kejadian kepala air yang berlaku di Sungai Congkak, Selangor pada 15 November 2018 pula, seorang pelajar sebuah kolej ditemui lemas selepas dihanyutkan air ketika sedang mandi-manda bersama empat rakannya.
Mengulas mengenai bahaya kejadian kepala air, Pensyarah Kanan Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia. Dr. Mohd. Hafizal Ismail memberitahu, kejadian kepala air sememangnya fenomena semula jadi alam dan tidak dapat dielakkan, terutama di kawasan sungai dan kawasan tempat tinggi.
Justeru kata beliau, semua pihak memainkan peranan penting dalam mencegah berlakunya kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda dalam kejadian kepala air.
Malah katanya, penggemar dan penggiat aktiviti rekreasi dan riadah seperti perkhemahan, berkelah, mandi-manda atau menelusuri sungai perlu meningkatkan kepekaan mereka terhadap kemungkinan berlakunya kejadian tersebut.
“Terdapat dua tanda asas yang perlu diketahui dalam mengesan kemungkinan berlakunya kejadian kepala air di kawasan-kawasan sungai.
“Faktor pertama kualiti air, iaitu berlakunya perubahan warna air yang luar biasa dalam tempoh singkat seperti air menjadi keruh, terdapat buih pada permukaan air, selain jalur arus sungai berubah dari bengkok kepada lurus.
“Yang kedua pula ialah perubahan pada kuantiti air iaitu paras air yang semakin banyak dan meningkat secara mendadak, kandungan air yang berpasir, keadaan sungai yang melebar dan bunyi aliran air yang semakin kuat.
“Perubahan-perubahan ini kerap dipengaruhi oleh kuantiti air hujan di bahagian hulu sungai dan ia kerap kali berlaku secara mendadak dan sangat cepat sehingga sukar dikesan jika pengunjung leka dengan aktiviti yang dilakukan,” katanya.
Menurut Hafizal lagi, terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh pengunjung untuk memastikan mereka terselamat daripada dibawa arus kepala air.
Jelasnya, ia kerana kebiasaannya apabila menyaksikan fenomena kepala air berlaku, orang ramai akan leka mengenai lokasi kedudukan mereka pada waktu itu terutama apabila asyik merakam video kejadian yang berlaku.
“Sepatutnya mereka perlu segera beredar dari lokasi tersebut dengan menggunakan laluan yang telah disediakan atau memilih tempat yang tinggi dan selamat untuk berlindung sama ada bukit, jambatan yang kukuh atau jalan raya.
“Elakkan daripada menjadikan tebing sungai, bangku berehat atau wakaf sebagai tempat berlindung kerana ia belum menjamin keselamatan pengunjung memandangkan paras air boleh naik dengan mendadak dalam masa yang singkat,” katanya.
Selain kepekaan orang ramai, Hafizal turut berpendapat, pemilik pusat rekreasi juga harus bertegas dalam memastikan pengunjung mematuhi peraturan dan langkah-langkah keselamatan yang telah digariskan dalam menjamin keselamatan mereka.
Malah kata beliau, pemilik pusat rekreasi juga harus menyediakan pelbagai peralatan sokongan seperti tali keselamatan, pelampung, jaket keselamatan, siren amaran, papan tanda amaran yang banyak dan petugas keselamatan di sekitar lokasi.
Katanya, peralatan sokongan itu boleh membantu dalam usaha menyelamat sekiranya lokasi perkelahan tersebut dilanda kepala air.
“Selain itu, pada pandangan saya, kehilangan nyawa dan kerosakan harga benda disebabkan kejadian kepala air boleh diminimumkan dengan beberapa langkah proaktif oleh pelbagai pihak.
“Antaranya ialah melakukan penilaian risiko yang lebih komprehensif dan berkala melibatkan pelbagai agensi berkaitan.
“Ia perlu melibatkan kepakaran dalam mengkaji morfologi sungai, perubahan cuaca, geologi persekitaran, hidrologi, psikologi manusia dan hidupan air.
“Selain itu, penggunaan teknologi dan aplikasi terkini yang mesra pengguna juga perlu diteroka sebagai langkah pencegahan dalam memantau pergerakan orang ramai ketika berkunjung di pusat rekreasi.
“Data-data yang ada pada aplikasi tersebut boleh digunakan oleh pihak berkuasa dalam mengesan kedudukan pengunjung sekiranya berlaku kejadian tidak diingini bagi tujuan pencarian dan penyelamatan,” ujarnya.














