fbpx

Wanita jadi mangsa pornografi deepfake

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WASHINGTON – Aplikasi fotografi digital dipacu teknologi ke­pintaran buatan (AI) yang berupaya menelanjangkan wanita dan memanipulasi imej mereka telah membuka laluan kepada jenayah ‘peras ugut seksual’.

WASHINGTON – Aplikasi fotografi digital dipacu teknologi ke­pintaran buatan (AI) yang berupaya menelanjangkan wanita dan memanipulasi imej mereka telah membuka laluan kepada jenayah ‘peras ugut seksual’.

Imej palsu itu dinamakan deepfake, manakala letusan pornografi sedemikian berkembang lebih pesat berbanding usaha Amerika Syarikat dan Eropah mengawal selia teknologi AI.

Teknologi deepfake sering digunakan untuk mencipta pornografi tanpa kebenaran yang boleh memusnahkan hidup wanita.

Kaum Hawa menjadi sasaran utama perkakasan dan aplikasi AI yang boleh dimuat turun secara percuma, malah penggunaannya juga tidak memerlukan kepakaran teknikal. Aplikasi ini membolehkan pengguna menanggalkan pakaian pada imej wanita secara digital atau menampal wajah mereka ke dalam video lucah.

“Peningkatan pornografi janaan AI dan deepfake menorma­lisasikan penggunaan imej wanita tanpa persetujuan mereka.

“Apa mesej yang kita mahu sampaikan mengenai hak privasi dan kebenaran dalam masyarakat sedangkan anda boleh membogelkan mana-mana wanita secara maya?” kata penyelidik dari Universiti Pennsylvania, Sophie Maddocks.

Dalam satu rakaman video jenayah tersebut, pesohor media sosial dikenali sebagai QTCinderella meluahkan kekesalan berhubung ‘eksploitasi berterusan’ terhadap wanita selepas dia sendiri menjadi mangsa pornografi deepfake.

Dia diganggu oleh mereka yang menghantar imej lucah palsu menampilkan dirinya.

Skandal itu tercetus pada Januari lalu semasa penstriman langsung oleh seorang lagi pesohor media sosial, Brandon ­Ewing yang dilihat menonton skrin sebuah laman web memaparkan imej lucah sebilangan wanita termasuk QTCinderella.

“Ia bukan sekadar gangguan seksual, ia lebih daripada itu,” kata QTCinderella dalam komen di laman Twitter sambil menambah, kejadian itu ‘memusnahkan’ hidupnya.

Peningkatan imej deepfake secara online membayangkan ancaman penyalahgunaan maklumat janaan AI yang boleh ­merosakkan reputasi dan membawa kepada gejala buli siber.

Jenayah itu tidak mengenal mangsa dengan selebriti seperti Taylor Swift dan Emma Watson pernah menjadi sasaran pornografi deepfake.

Media Amerika dan Eropah penuh dengan testimoni wanita, daripada ahli akademik hinggalah kepada aktivis, yang terkejut melihat wajah mereka menjadi penghias pornografi deepfake.

Sekitar 96 peratus video deepfake yang disiarkan secara online adalah pornografi ‘bukan suka sama suka’, manakala kebanyakannya menampilkan wanita, demikian menurut kajian pada 2019 oleh syarikat AI Belanda, Sensity.

“Fantasi seksual yang sebelum ini hanya wujud dalam minda seseorang kini boleh bertukar menjadi imej sebenar menggunakan teknologi AI,” kata Roberta Duffield pula yang merupakan pengarah syarikat perisikan Blackbird AI.

Teknologi baharu seperti Stable Diffusion iaitu model AI yang dibangunkan oleh firma ­Stability AI, membolehkan penciptaan imej realistik berdasarkan ­penerangan teks.

Kemajuan teknologi AI itu membawa kepada kewujudan apa yang digelar oleh Duffield sebagai ‘industri hiliran’ pornografi AI dengan banyak pencipta imej atau video deepfake mengambil upah menghasilkan kandungan yang menampilkan pilihan ­pelanggan.

Pada bulan lalu, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengeluarkan amaran mengenai ‘skim peras ugut seks’ yang menyaksikan penipu (‘scammer’) mengambil gambar dan video daripada sosial media untuk menghasilkan pornografi deepfake yang kemudian digunakan untuk memeras ugut wang.

Menurut FBI, antara mangsa penipuan itu termasuk remaja bawah umur dan orang dewasa.

“Jenayah ini berlaku di bawah pemantauan kami. Undang-undang perlu digubal seiring dengan kemajuan teknologi AI,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas syarikat perlindungan jenama AI Ceartas, Dan Purcell.

Sementara itu, kerajaan ­Britain mencadangkan Rang Undang-Undang Keselamatan Online bertujuan untuk menjadikan perbuatan berkongsi imej pornografi deepfake sebagai kesalahan jenayah.

Pada masa ini, empat ­negeri AS termasuk California dan Virginia telah mengharamkan pengedaran pornografi deepfake, namun mangsa kerap kali tiada akses undang-undang sekiranya pelaku menetap di luar kawasan atau luar negara. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI