fbpx

Pemandu tercampak keluar, 8 penumpang bas ekspres cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan bas ekspres terlibat kemalangan di Kilometer 154, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara Bukit Gambir, Tangkak, awal pagi hari ini.

TANGKAK – Seorang pemandu bas ekspres maut selepas tercampak keluar dari bas dipandunya dalam kemalangan di Kilometer 154, Lebuh Raya Utara Selatan, Arah Utara, di sini awal pagi hari ini.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farizan Mokhtar, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.09 pagi.

Katanya, setiba di tempat kejadian didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah bas ekspres yang membawa 22 orang penumpang dan sebuah kereta jenis Mazda.

“Pemandu bas iaitu lelaki dewasa telah tercampak keluar dari kenderaan dan mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.

“Bas terbabit dipercayai dari arah utara ke selatan dan setibanya di lokasi, ia terbabas masuk ke lorong sebelah arah dari selatan ke utara.

“Mengikut maklumat awal, berkemungkinan pemandu bas mengantuk kerana cuaca tidak hujan sewaktu kejadian,” katanya di sini hari ini.

Terdapat lapan orang penumpang mengalami cedera ringan iaitu dua lelaki dewasa, lima perempuan dewasa dan satu kanak-kanak perempuan.

Sementara itu, 14 lagi mangsa terdiri dari lapan lelaki dewasa, lima perempuan dewasa dan
satu anak-kanak lelaki selamat.

Pemandu kereta jenis Mazda iaitu seorang lelaki dewasa berada dalam keadaan selamat.

“Sewaktu terbabas masuk ke lorong sebelah (bertentangan), bas ekspres telah melanggar sedikit kereta Mazda yang tidak sempat mengelak.

“Mangsa telah dihantar ke hospital dengan menggunakan jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir dan BBP Tangkak ke hospital berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI