fbpx
Gambar kecederaan yang dialami mangsa dipercayai akibat dirotan seorang guru wanita di Segamat baru-baru ini.

Mangsa rotan jadi pendiam, tak mahu ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEGAMAT – Seorang murid lelaki yang mengalami kece­deraan selepas dirotan guru berubah menjadi pendiam dan kurang selera makan disebabkan trauma dengan kejadian yang menimpanya pada Selasa lalu.

Ibu mangsa, yang dikenali sebagai Sara, 41, berkata, selepas kejadian itu, anak bongsu daripada tiga adik-beradik tersebut sering berasa takut selain tidak mahu pergi ke sekolah.

“Saya bimbang dengan perubahan ini kerana sebelum ini dia seorang yang ceria. Saya sudah berjumpa dengan pihak pendtadbiran sekolah bagi memaklumkan mengenai situasi tersebut.

“Saya tidak berhasrat untuk memindahkan anak ke sekolah yang lain, tetapi berharap pihak sekolah dapat mempertimbangkan sesuatu termasuk menukar guru wanita berkenaan ke tempat lain,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut wanita itu, sebagai ibu, dia tidak kisah sekiranya anaknya dirotan asalkan ia tidak keterlaluan dan bertujuan untuk mendidik.

“Tindakan guru wanita tersebut yang dipercayai merotan anak saya dengan dua rotan sukar untuk diterima. Selepas kejadian itu, anak saya juga mengadu dia sukar menelan makanan dan air liur kerana lehernya cedera,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan seorang murid lelaki tahun lima cedera selepas dirotan seorang guru sebuah sekolah di daerah ini kerana tidak me­nyiapkan kerja sekolah dan sambil lewa ketika belajar.

Susulan kejadian itu, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Mengulas lanjut, Sara memberitahu, dia menyerahkan siasatan kes tersebut kepada pihak polis dan menjelaskan laporan itu dibuat bagi mengelak kejadian sama berlaku terhadap kanak-kanak lain di sekolah sama.

“Saya setuju jika anak saya buat salah dan dirotan, tetapi tidaklah sampai cedera teruk seperti ini. Saya pun pernah dirotan semasa kecil bagi tujuan mendidik,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, pihaknya masih menunggu laporan siasatan daripada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berhubung keja­dian tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN