fbpx

Bantuan RM64.8 juta disalur khusus untuk pendidikan Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramlan (tengah) bergambar bersama pelajar cemerlang SPM dan STPM 2022 pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Jakoa 2022 di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi hari ini.

BANGI – Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM64.8 juta kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi membantu masyarakat Orang Asli mendapatkan pendidikan yang sepatutnya.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, bantuan tersebut merangkumi perbelanjaan dari sekolah rendah, sekolah menengah dan seterusnya ke institut pengajian tinggi (IPT).

Jelasnya, antara bantuan yang telah disalurkan termasuklah bantuan pengangkutan sebanyak RM36.9 juta, bantuan wang saku RM12 juta dan pelbagai bentuk yuran sebanyak RM638,000.

“Selain itu, kerajaan telah memperuntukkan bantuan kewangan ke institut pengajian tinggi sebanyak RM6.28 juta bagi menggalakkan peningkatan bilangan pelajar Orang Asli melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Jakoa 2022 di sini hari ini.

Ramlan berkata, sehingga kini terdapat seramai seramai 751 pelajar Orang Asli sedang menuntut dalam pelbagai peringkat di IPT dalam pelbagai jurusan.

Ujar beliau, jika dilihat daripada jumlah tersebut, kita dapati bahawa masyarakat Orang Asli kini telah mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai kepentingan pendidikan.

“Pada tahun 2022, seramai tujuh orang pelajar Orang Asli telah melanjutkan pelajaran ke luar negara di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam pelbagai bidang.

“Sejak program Ijazah Luar Negara (ILN) dilaksanakan dari tahun 2010 hingga tahun lalu, seramai 93 pelajar Orang Asli telah berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti di United Kingdom,
Rusia, Amerika Syarikat, Australia, Perancis dan Korea.

“Kejayaan yang dicapai ini telah membuktikan bahawa mereka juga mampu bersaing dengan masyarakat yang lain dan tanggapan negatif masyarakat bahawa masyarakat Orang Asli terlalu mundur adalah tidak benar,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI