fbpx

Anwar tuntut Muhyiddin minta maaf tempoh 24 jam isu fitnah hutang peneroka Felda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin dan Anwar.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menuntut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta maaf dan membayar pampasan RM200 juta kerana menjejaskan reputasi beliau berhubung dakwaan fitnah membabitkan isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Melalui jawapan terhadap surat tuntutan Muhyiddin menerusi firma guamannya S.N Nair & Partners, menyatakan Anwar akan memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri itu jika tidak menerima apa-apa maklum balas dalam tempoh 24 jam daripada tarikh surat jawapan berkenaan.

Surat jawapan terbabit dialamatkan kepada firma guaman, Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership yang mewakili Muhyiddin.

Permohonan maaf tanpa syarat dan tidak berbelah bahagi seperti yang dituntut Anwar hendaklah dalam cara dan bentuk yang akan diluluskan untuk disiarkan dalam akhbar dan media pilihan Anwar.

Pada masa sama, Anwar turut menuntut Muhyiddin menarik balik surat tuntutan beliau dan semua kenyataan (yang didakwa) fitnah diterbitkan berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda serta-merta dan tidak berbelah bahagi serta memadamkan atau menarik balik segala komen yang menyinggung perasaan dan bersifat fitnah.

“Penegasan anak guam kami (Anwar) bahawa anak guam kamu sengaja dan berniat jahat memfitnah dalam menerbitkan kenyataan tidak benar dan di luar konteks seperti terkandung di dalam surat tuntutan anak guam kamu bertarikh 18 Julai lalu dan harus membuat permintaan maaf yang tidak terizab kepada anak guam kami,” kata surat jawapan itu.

Sementara itu, berhubung surat tuntutan Muhyiddin bertarikh 18 Julai lalu, surat itu menegaskan bahawa Anwar sudah memberikan maklum balas dalam tempoh masa yang diberikan dengan membuat satu hantaran Facebook kenyataan media semalam.

Ia menyatakan bahawa tidak relevan di sisi undang-undang dan prosedur sama ada maklum balas itu dibuat melalui hantaran Facebook beliau atau melalui peguam caranya atau oleh kedua-duanya.

Menurut surat jawapan itu, Muhyiddin dalam surat tuntutannya membuat rujukan kepada beberapa petikan daripada ucapan Anwar ketika majlis sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di Serdang, Selangor pada 7 Julai lalu dan ucapan pada dialog di Universiti Utara Malaysia keesokan hari.

“Kenyataan Anwar juga disahkan dan disokong dalam hantaran Facebook oleh Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada 8 Julai lalu. Lanjutan itu, transkripsi (perenggan ucapan) yang dinyatakan dalam surat tuntutan anak guam kami dipetik di luar konteks dan diputar belit semata-mata untuk memberikan suatu gambaran yang tidak benar dengan niat untuk memfitnah dan dengan sengaja tidak mengemukakan transkripsi penuh dan teratur ucapan oleh Anwar.

“Oleh itu, kenyataan oleh anak guam kami adalah benar,” katanya.

Surat jawapan itu juga menyatakan bahawa Anwar menegaskan bahawa Muhyiddin dengan sengaja dan berniat jahat memfitnahnya dalam menerbitkan kenyataan tidak benar dan di luar konteks.

Pada 19 Julai lalu, Muhyiddin menghantar surat tuntutan kepada Anwar dan menuntut Ahli Parlimen Tambun itu mengemukakan surat atau dokumen yang beliau tandatangan sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun 2023 bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka FELDA bernilai RM8.3 bilion dalam tempoh 24 jam.

Dalam kenyataan beliau malam tadi di Facebook, Muhyiddin memaklumkan meneruskan tindakan saman terhadap Anwar berikutan Anwar dalam kenyataannya pada hari sama gagal mendedahkan dokumen yang berhubung pelupusan hutang peneroka.

Menurut Muhyiddin, dokumen yang dikemukakan Anwar bukan berkenaan pelupusan hutang peneroka Felda tetapi dokumen berkenaan sukuk dan menegaskan pendedahan dokumen berkenaan membuktikan beliau (Muhyiddin) bercakap benar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI