DERETAN lilin di sekeliling laluan masuk restoran Solo Per Due, Vacone, Itali membangkitkan rasa romantik buat Max Owen dan isterinya, Linda Owen.
Alunan instrumental klasik, La vie en rose dimainkan sebaik sahaja kaki mereka melangkah masuk ke dalam restoran berkeluasan kurang 152.4 meter persegi itu.
Setelah ditunjukkan tempat duduk, pasangan merpati sejoli itu diberikan satu loceng berwarna perak yang berfungsi sebagai alat memanggil pelayan restoran tersebut.
Secara keseluruhan, enam sajian lengkap yang dibawa pelayan tiba satu per satu di meja pasangan Owen itu.
Usai makan, Max dan Linda duduk di hadapan unggun api sambil menikmati minuman ‘champagne’ sambil mengimbau kembali kenangan ketika cinta mereka berputik.
Sesuai dengan permintaan Max, makan malam pasangan dari utara Itali itu diakhiri dengan persembahan bunga api di laman restoran berkenaan.
Suasana romantis itu bukanlah babak dalam filem romantik komedi, tetapi perkhidmatan daripada sebuah restoran mewah paling kecil di dunia.
Menurut Max, perkhidmatan yang ditawarkan di restoran tersebut sangat berbaloi dan memberikan mereka pengalaman makan malam romantik bertaraf VVIP.
“Ini sememangnya cara paling sempurna untuk meraikan ulang tahun ke-25 kami. Sudah tentu, kami tidak akan lupakan keseluruhan pengalaman di sini.
“Perkhidmatan makan malam ini serba mewah dalam suasana klasik dan romantis. Paling penting, ia eksklusif kerana kami sahaja pelanggannya.
“Ini membuatkan kami rasa seperti golongan bangsawan sepanjang berada di sini,” katanya.
Solo Per Due bermaksud ‘hanya untuk dua’ dalam bahasa Itali.
Restoran dengan konsep unik tersebut menawarkan hidangan eksklusif untuk dua orang berharga lebih AS$500 (RM2,263.00).
Restoran itu sebahagian daripada rumah batu agam abad ke-20 di luar bandar yang terletak berhampiran perkampungan Vacone, utara Itali.
Rumah agam yang dikelilingi ladang itu memiliki pemandangan menghadap tapak arkeologi runtuhan vila Rom purba.
Dengan dekorasi lantai mozek berwarna-warni dan tiang batu, ia dikatakan milik penyair purba, Horace.
Restoran di bahagian depan rumah agam itu dibuka secara rasmi pada tahun 1988 sebagai cara untuk menunjukkan dunia romantis di Itali.
Di ruang restoran, tersergam tempat pendiangan api yang sesuai untuk waktu malam pada musim sejuk.
Ditambah lagi dengan perabot antik dan dua sofa merah mewah untuk pelanggan bersantai sebelum atau selepas makan malam.
Restoran yang dimiliki oleh dua beranak iaitu bapa, Remo serta anaknya, Giovanni Di Claudio itu tidak memiliki menu.
Sebaliknya pesanan makanan dibuat mengikut cita rasa dan kehendak pelanggan.

“Apabila tempahan disahkan, tetamu perlu memberi butiran menu kepada kami sama ada hidangan ikan atau daging, pencuci mulut dan wain.
“Pelanggan juga akan menentukan muzik latar dan hiasan bunga mengikut kehendak mereka.
“Kami menyediakan makanan Itali mengikut musim dan digandingkan dengan wain kelas atasan,” kata Remo.
Antara hidangan mewah yang sering ditempah pelanggan adalah ravioli berbentuk hati, tiram, scampi, carpaccio daging dan tiramisu.
Untuk itu, tempahan dan butiran hidangan mesti dibuat melalui telefon dan pengesahan perlu dilakukan 10 hari sebelum tarikh makan malam.
Ujar Remo, peraturan tersebut bagi membolehkan perjalanan perkhidmatan makan malam yang ditempah pelanggan berjalan lancar.
“Pelanggan juga dikehendaki tiba pada masa tertentu yang dipersetujui oleh kami.
“Pelanggan mesti menelefon restoran 30 minit sebelum tiba supaya persediaan dapat dilakukan.
“Jangan datang terlalu awal kerana mereka tidak akan disambut sehingga masa yang telah dipersetujui,” ujarnya.
Restoran yang menawarkan sajian makan tengah hari dan malam itu diiklankan sebagai ‘restoran mewah terkecil di dunia’.
Ini kerana, restoran itu hanya memiliki satu meja.
Difahamkan, konsep itu tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pengusaha restoran ketika pertama kali ia diperkenalkan.
Tambah Remo, pelanggan tidak perlu risau sekiranya tumpuan semua pekerja akan terarah kepada mereka memandangkan tiada tetamu lain.
Katanya, para pekerja akan hilang dari pandangan, sehinggalah mereka dipanggil menerusi bunyi loceng perak yang dibunyikan sendiri oleh pelanggan.
“Signatur restoran kami adalah ruang privasi yang ditawarkan kepada pelanggan. Selain tiada pelanggan lain, pekerja juga tidak akan muncul melainkan dipanggil.
“Protagonis dalam kisah romantis di restoran ini adalah pelanggan kami. Kami akan pastikan itu berlaku,” jelasnya.
Mengulas berkenaan inspirasi yang menyumbang kepada kewujudan restoran unik tersebut, Remo menjelaskan, dia ingin menyentuh perasaan orang menerusi pengalaman makan di restorannya.
Tambahnya, istilah cinta lebih daripada sekadar hubungan antara pasangan kekasih.
“Pernah sekali, seorang wanita membawa bapanya yang menghidap kanser untuk menikmati makan malam terakhir bersamanya sebelum dia meninggal dunia.
“Kami juga menerima beberapa pasangan yang datang pada malam sebelum perceraian mereka dimuktamadkan keesokan harinya.
“Mereka panggil ia makan malam terakhir. Mereka mahu akhiri hubungan dalam suasana positif,” kata Remo sambil tersenyum.














