fbpx

Genap 8 bulan bentuk kerajaan, MB Perak puas hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAARANI (tengah) membunyikan hon sebagai simbolik menyempurnakan pelepasan produk usahawan Perak ke Malaysia Fest 2023 yang berlangsung di Singapura pada hujung bulan ini semasa hadir ke program Hari Bertemu Pelanggan di Grik, Perak hari ini. - Foto FADZIL ZAINOL/KOSMO! ONLINE.

GERIK – Genap lapan bulan membentuk kerajaan negeri, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh barisan pentadbirannya.

Tidak menolak wujud perbezaan pendapat ahli EXCO negeri yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, beliau berkata kepimpinan tetap menyambut baik sebarang pandangan yang disuarakan.

“Alhamdulillah. Kita tiada gagal untuk mengadakan mesyuarat EXCO. Walaupun ada berlaku perbezaan pendapat dan pandangan, tetapi itu kita raikan.

“Saya rasa setakat ini prestasi kita okay. Sudah tentu kita ada kelemahan di sana sini, tetapi kita tidak lihat kepada kelemahan sebaliknya berkongsi kelebihan masing-masing,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri Enam di sini hari ini.

Saarani yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak pada 21 November tahun lalu selepas Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersetuju membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.

Berkenaan program yang dihadirinya hari ini, beliau gembira dengan perkhidmatan yang dapat dinikmati oleh rakyat Perak dan mahu meneruskan aktiviti tersebut.

“Walaupun dibuat di Hulu Perak, penduduk dari kawasan lain turut hadir. Menunjukkan bahawa mereka sedaya upaya menggunakan ruang ini. Sesi ini membolehkan rakyat sendiri bertemu Menteri Besar, EXCO dan pentadbiran negeri secara terus,” katanya.

Beliau memaklumkan, sejak siri pertama hingga keenam, sebanyak 852 aduan telah diterima.

Berkenaan UMNO, Saarani berkata setiap ahli parti yang disingkirkan berhak membuat rayuan terhadap segala tindakan yang dikenakan kepada mereka termasuklah bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Katanya, ini kerana ada juga ahli UMNO yang diterima kembali selepas rayuan dikemukakan kepada Majlis Kerja Tertinggi parti. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI