fbpx

Anwar kemuka dokumen terkait Felda, desak Muhyiddin mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan sebahagian dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang telah ditandatangani beliau.

Dokumen tersebut dimuat naik menerusi Facebook rasmi beliau melibatkan FSRA 1 berserta Arahan Pembayaran Tahun Kewangan 2023.

“Saya kemukakan sebahagian dokumen perjanjian Assignment for FSRA terkait Jaminan Kerajaan kepada Felda yang telah saya tandatangani.

“Justeru, saya mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepada saya,” katanya pada hantaran tersebut hari ini.

Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berasingan mengesahkan perjanjian FRSA telah ditandatangani oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan pada 26 Jun 2023.

“Seperti diumumkan melalui siaran akhbar MOF bertarikh 28 Jun, perjanjian ini melibatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM9.9 bilion kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda.

“Di bawah perjanjian, kerajaan akan membiayai pembayaran balik sukuk tersebut melalui peruntukan geran RM990 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun.

“Sehubungan itu, MOF juga ingin mengesahkan bahawa penyaluran pertama RM990 juta telah dilaksanakan pada 18 Julai 2023 selaras dengan peruntukan yang telah disediakan di dalam Belanjawan Madani 2023,” kata kenyataan itu hari ini.

Penyempurnaan perjanjian jaminan kerajaan dan penyaluran peruntukan kepada Felda merupakan elemen penting dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kelangsungan Felda.

Ia antara lain mengambil kira antaranya impak kepada aliran tunai dan kedudukan kewangan Felda berikutan penghapusan hutang peneroka Felda.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, menerusi Majlis Sambutan Maal Hijrah Perpaduan Tanjong Karang di Jalan Sekolah Kampung Raja Musa, Tanjong Karang malam tadi, Anwar menegaskan sedia mengemukakan bukti beliau sudah menandatangani kelulusan pelupusan hutang peneroka Felda pada 27 Jun lalu.

Perdana Menteri dipetik berkata, beliau bersedia menunjukkan bukti tandatangan kelulusan itu dan menuntut Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memohon maaf sekiranya perkara itu benar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI