fbpx
AMIR MASDI

Amir Masdi tunggu 7 tahun, lancar album sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TROFI juara yang disandang dalam Akademi Fantasia 2016 bukanlah tiket mudah untuk Amir Masdi meluncur laju sebagai penyanyi.

Hanya sekitar awal 2020 ketika satu dunia berdepan krisis pandemik Covid-19, namanya semakin disebut-sebut disebabkan ‘kegilaan’ memuat naik nyanyian lagu saduran (cover) menerusi media sosial.

Pengalaman melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) sebanyak dua kali juga membuatkan Amir semakin yakin membuat percaturan lebih berani merancakkan lagi langkahnya sebagai seorang anak seni.

Pembabitan penyanyi berumur 27 tahun itu dalam dunia seni selama tujuh tahun cukup memberikan pengalaman buatnya tampil dengan album sulung berjudul Amir Masdi.

Album sulung

Dengan bantuan pihak Nova Music dalam proses rakaman, Amir berani mempertaruhkan album sulung yang memuatkan 12 lagu termasuk single yang pernah dilancarkan sebelum ini.

“Mulanya saya tidak terfikir untuk buat album sampailah saya terima lagu Berhenti Mencinta daripada Edry Abdul Halim.

“Balik rumah tengok semua lagu saya tulis dan saya rasa sudah sampai masanya saya buat album.

BAGI Amir, album merupakan seni yang besar yang boleh dijadikan tempat berkarya dengan hasil tangan sendiri.

“Saya tambah dua lagu dan cukup 12 karya termasuk single yang baru sahaja dilancarkan,” katanya usai menjayakan showcase buat peminat baru-baru ini.

Sedia maklum bahawa penghasilan fizikal kurang mendapat sambutan pada zaman sekarang kerana dipelopori muzik digital, penyanyi berambut ikal panjang itu tetap optimis.

“Zaman sekarang memang digital lebih kuat tetapi saya fikir orang masih memerlukan karya fizikal.

“Saya tengok peminat lebih sukakan sesuatu perkara yang sentimental jadi mengapa tidak saya lancarkan album.

“Sebagai penyanyi pasti ada matlamat atau tujuan mengimpikan penghasilan album sendiri,” luahnya.

Berbicara lanjut mengenai album, pelantun lagu Sengaja itu berkongsi cerita pahit manis setiap karya yang dihasilkan dalam diskografi Amir Masdi.

“Setiap lagu ada cerita sendiri. Ada lagu yang terpaksa dirakam berulang kali untuk cari resipi tepat.

“Makan masa agak lama untuk menghasilkan versi terkini bagi memberi nafas baharu kepada peminat.

“Ada lagu saya tulis satu malam dan ada juga yang ambil masa dalam lima ke enam tahun untuk hasilkan,” kongsinya.

Hadiah peminat

Pada malam pelancaran album, hari Amir turut bernuansa indah apabila menghadiahi peminat dengan showcase istimewa.

“Asalnya perancangan saya hanya ingin mengadakan pelancaran album dan sidang media.

“Namun, pengurus saya yakinkan untuk mengadakan showcase khas buat peminat.

SEBANYAK 12 lagu yang disediakan dalam album Amir Masdi termasuk satu karya bahasa Inggeris.

“Kami saling mempercayai satu sama lain, jadi saya pun yakin untuk menjayakan showcase,” tutur Amir.

Berkongsi keterujaan, Amir menganggap malam tersebut sebagai pengalaman indah buat dirinya yang dikongsikan bersama orang ramai yang hadir.

“Saya sangat gembira dan tidak sangka dengan sambutan peminat pada malam ini.

“Mulanya ingin menyampaikan 15 lagu tetapi rata-rata meminta saya nyanyikan lagu Di Penjara Janji (nyanyian asal Datuk Awie).

“Dari kecil lagi saya berangan-angan ingin mengadakan berada di atas pentas, jadi ini kali pertama dan satu pengalaman baharu buat saya,” katanya.

Soal cinta

Menukar rentak perbualan, Amir ketika diasak soal peribadi tersenyum. Katanya, buat masa sekarang, karier adalah tumpuan nombor satu.

“Dari segi peribadi, saya rasa tahun ini saya hanya fokus bekerja sahaja. Lepak dengan kawan pun kurang.

“Keluarga juga memahami saya kerana tahu hasilkan album bukan perkara mudah,” jawabnya.

Jelas Amir lagi, dia sentiasa mendahulukan apa yang utama sebelum mengerjakan perkara lain seperti disaran ibu.

“Mak pun ada berpesan jangan terburu-buru. Jadi saya pegang kata-kata syurga saya itu,” tutup Amir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN