fbpx

Usah terlalu kecam pemansuhan hukuman mati mandatori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

MINGGU lalu, tanggal 4 Julai kerajaan memutuskan tiada lagi hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat di Malaysia susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dalam kenya­taannya memaklumkan, mengikut subseksyen 1(2) Akta 846, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menetapkan 4 Julai 2023 sebagai tarikh akta itu mula berkuat kuasa.

Menurut Ramkarpal, pemansuhan tersebut bertujuan menghormati hak setiap individu untuk hidup di Malaysia serta memastikan keadilan bagi semua pihak.

Ujar beliau, prinsip asas yang ingin diberi penekanan oleh kerajaan di sebalik setiap hukuman di Malaysia adalah pemulihan banduan agar dapat kembali ke pangkuan masyarakat.

Mengulas lanjut, pengamal undang-undang yang juga peguam, Muhamad Amin Abdullah berkata, beliau menyambut baik pemansuhan tersebut.

“Pemansuhan hukuman mati mandatori adalah satu usaha kerajaan hari ini untuk menghormati hak untuk hidup di Malaysia sepertimana yang diperuntukan di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, pemansuhan hukuman mati mandatori ini juga dilihat lebih adil dan saksama kerana pesalah-pesalah tidak akan lagi dihukum mati secara automatik disebabkan undang-undang memperuntukan sebegitu.

“Justeru pesalah diberi peluang untuk didengari rayuannya terhadap hukuman setelah didapati bersalah untuk sesuatu kes,” katanya ketika dihubungi.

Meskipun begitu, katanya, sebagai masyarakat bukanlah tiket untuk ‘berseronok’ dengan sesuka hati melakukan jenayah berat terhadap akta pemansuhan itu sebaliknya perlu dilihat dari sudut yang positif.

“Perlu diingatkan hukuman mati kini menjadi budi bicara hakim perbicaraan yang akan membuat penilaian berdasarkan fakta kes dan mitigasi pesalah sebelum hukuman dijatuhkan.

“Mahkamah masih boleh menjatuhkan hukuman mati jika faktor pemberatan yang dihujahkan oleh pihak pendakwaan mempunyai merit tersendiri dan juga sebagai mesej kepada orang awam untuk tidak melakukan kesalahan yang berat pada bila-bila masa,” katanya lagi.

Menurut beliau, permohonan semakan hukuman mati atau pemenjaraan sepanjang hayat di bawah Akta 847 hanya boleh difailkan selepas terdapat penetapan tarikh kuat kuasa oleh Azalina melalui pemberitahuan dalam Warta Kerajaan Persekutuan.

Jelas beliau, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri sejak Mei 2023 telah mengadakan beberapa mesyuarat bagi membincangkan mekanisme dan garis panduan pelaksanaan semakan hukuman mati serta pemenjaraan sepanjang hayat.

“Butiran berhubung meka­nisme dan garis panduan itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Jelas beliau lagi, reformasi udang-undang itu adalah langkah awal dalam mentransformasikan sistem keadilan jenayah di Malaysia.

“Lebih banyak semakan dan reformasi sistem perundangan jenayah akan dilaksana selaras dengan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam mewujudkan sistem perundangan yang lebih progresif serta relevan bagi membangunkan Malaysia Madani,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI