fbpx

Agong perkenan lancar kapal baharu A321F Teleport

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al Sultan Abdullah berkenaan merasmikan kapal baharu A321F milik Teleport di Sepang malam tadi. Foto oleh FAISOL MUSTAPA/KOSMO!

SEPANG – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah malam ini berkenan melancarkan kapal pengangkut baharu milik syarikat logistik di bawah Capital A Berhad, Teleport iaitu Airbus321 Freighter (A321F).

Hadir sama pada majlis perasmian itu ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke selain Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad, Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak.

Pelancaran kapal baharu itu sekali gus dilihat bakal mengukuhkan kedudukan Teleport sebagai peneraju pasaran daripada segi jumlah kargo udara mengikut tan di seluruh Asia Tenggara seperti diperakui World ACD.

Bertitah pada majlis perasmian itu, Al Sultan Abdullah menzahirkan ucapan tahniah kepada Capital A Berhad dan Teleport di atas penerimaan pesawat A321F selain berharap syarikat itu terus meneroka pasaran Asia Tenggara.

Titahnya, pesawat A321F Teleport mempamerkan kejayaan syarikat tempatan mendominasi pasaran serantau selain menzahirkan agar kejayaan itu dicontohi pemain industri yang lain.

Sementara itu, Tony Fernandes turut mengucapkan ucapan tahniah kepada pasukan Teleport susulan kejayaan memiliki pesawat kargo A321F pertama mereka.

“Ini bukan sahaja bukti kerja keras dan dedikasi mereka dalam industri logistik, tetapi kemenangan untuk kami semua di Capital A dalam menjadi penerbangan dipacu nilai kos rendah dan berkualiti.

“Keyakinan kami terhadap masa depan Teleport semakin kukuh apabila menjalin kerjasama dengan perniagaan lain di bawah capital A.

“Ia bukan sahaja meletakkan Teleport sebagai pemain industri yang menguntungkan dan mampu milik, tetapi mewujudkan sebuah rakan kongsi penghantaran boleh dipercayai untuk entiti Capital A,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI