PONTIAN – Keputusan seorang lelaki melepaskan jawatan sebagai eksekutif lima tahun lalu berbaloi apabila perniagaan menjual kuih tradisional masyarakat India, putu mayam membuahkan hasil sehingga memperoleh pendapatan lima angka sebulan.
Biarpun terpaksa menempuh perjalanan sejauh 120 kilometer (km) setiap hari sejak 2018, namun jarak itu tidak menjadi halangan buat Mohd. Zaki Abd. Jamil, 37, mencari rezeki untuk menyara keluarganya.
Mohd. Zaki yang menetap di Taman Saujana, Kota Tinggi berkata, dia menjual putu mayam tersebut yang merupakan hasil air tangan ibu saudaranya, Kasiah Rashid, 55, dengan menggunakan kereta jenis Kia Spectra.
“Setiap hari saya akan memandu kira-kira 120 km ke lokasi-lokasi tumpuan di Johor Bahru dan Pontian seperti di Bandar Tenggara, Sungai Sayong, Senai, bandar Pontian serta Perling, Johor Bahru untuk menjual putu mayam.
“Kuih ini dibuat oleh emak saudara dan saya pula membantu menjualnya. Jika di Pontian, saya berniaga pada hujung minggu. Jarak lebih 100 km itu sudah biasa sebab kerap berulang-alik,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Bapa kepada tiga anak itu memberitahu, seawal pukul 7 pagi dia akan bertolak ke lokasi perniagaan setiap hari dan akan pulang pada pukul 5 petang.
Setiap hari sebanyak 130 atau 150 bungkus putu mayam habis dijual. Putu mayam itu dijual pada harga RM6 sebungkus.
“Ketepikan soal ‘glamour’ yang penting dapat menjana pendapatan. Pendapatan yang saya peroleh sekarang dua kali ganda berbanding ketika makan gaji sebelum ini.
“Pendapatan tidak menentu, adakalanya dapat RM10,000, kadang-kadang mencecah RM12,000 sebulan,” kata bekas eksekutif itu.
















