fbpx

Fajarbaru raih kontrak Jabatan Pertahanan Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kuan Khian Leng

PETALING JAYA – Fajarbaru Builder Group Bhd. (Fajarbaru) menerusi anak syarikatnya, Fajarbaru Builder Sdn. Bhd. (FBSB) bersama-sama Avionics Pty Ltd (APL) telah meraih kontrak daripada Jabatan Pertahanan Australia untuk membangunkan semula kemudahan pajakan Australia dan kemudahan Malaysia di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth.

Bagi fasa perancangan projek, bahagian kontrak Fajarbaru adalah bernilai RM7.36 juta. Fasa ini akan bermula pada 10 Julai 2023 dan dijadualkan siap pada 13 November 2023.

Skop projek termasuk naik taraf turapan lapangan terbang, infrastruktur pencahayaan tanah, saliran, padang ragbi, gelanggang futsal dan infrastruktur berkaitan di pangkalan tentera.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Datuk Seri Eric Kuan Khian Leng berkata, pemerolehan kontrak berkenaan merupakan peristiwa penting bagi pihaknya, serta menunjukkan kepakaran dan kredibiliti syarikat dalam industri pembinaan.

“Ia mengesahkan kedudukan kami sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam projek infrastruktur kritikal, dan membuka pintu untuk peluang masa depan dalam sektor pertahanan.

“Kami komited sepenuhnya untuk memberikan hasil yang luar biasa dan mempamerkan dedikasi terhadap kecemerlangan serta keupayaan kami untuk memenuhi keperluan ketat Jabatan Pertahanan Australia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Jun lalu, Fajarbaru menandatangani memorandum persefahaman dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang untuk membangunkan ‘Medi-City Bandar Cassia,’ sebuah bandar perubatan dan hab pembangunan bercampur di Bandar Cassia, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan.

Cadangan pembangunan besar-besaran itu, yang terletak di atas sebidang tanah seluas 230 ekar, akan berfungsi sebagai hab perubatan dengan kemudahan termasuk hospital, kampus perubatan dan hab bekalan perubatan, selain elemen bukan perubatan termasuk runcit, hotel, kediaman, komersil, komponen rekreasi dan sistem pengangkutan bersepadu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI