fbpx
ELIZABETH TAN

Lizzy nak anak tapi takut ‘saham’ jatuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAMA terpendam, air mata Lizzy gugur saat berbicara tentang keinginan menimang cahaya mata, namun terpaksa ditangguhkan atas kekangan kewangan dan saham karier.

DI sebalik senyuman manis yang terukir di bibir si wanita cantik itu, terakam gundah yang tiada kesudahan.

Bicara soal peribadi bukan suatu hal yang mudah untuk dikongsikan. Namun jika dibiarkan terlama-lama, lara yang bersarang di dalam hati semakin parah.

Situasi serupa dilalui Elizabeth Tan. Lama memendam rasa, air mata wanita yang mesra disapa Lizzy itu gugur. Dadanya berombak menahan sebak saat berbicara tentang zuriat yang lama diidam.

Selepas hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga bersama, Dr. Siew Jim, sehingga kini Lizzy masih bergelut banyak isu apabila isu anak masuk dalam perbualan.

Bicara soal anak sebenarnya sudah banyak kali dikongsikan Lizzy. Jika sebelum ini dia pernah menyatakan perasaan teruja dan tidak sabar. Namun sekarang, gelombang di jiwanya berbolak-balik.

SEBAGAI artis, Lizzy takut kerjaya seninya yang kini sedang berada di puncak, jatuh merudum selepas menimang cahaya mata suatu hari nanti. – FAIZ ALIF dan AMIR KHALID

Dilema anak

Wanita berusia 30 tahun itu dalam keadaan dilema. Usia semakin bertambah, namun pada masa sama dia perlu memikirkan banyak perkara lain seperti faktor ekonomi dan kerjaya.

“Saya betul-betul nak anak. Tapi entahlah, banyak benda kena fikir,” kata Lizzy menahan sebak.

Kata Lizzy, selain memikirkan soal kerjaya seninya pada masa hadapan, dia juga perlu mengambil kira situasi ekonomi yang perlu ditanggung bersama suaminya, Siew Jim.

“Saya perlu bercakap jujur. Suami saya hanya houseman (doktor pelatih) dengan gaji yang tidak seberapa.

“Semua perbelanjaan ditanggung oleh saya. Banyak perkara yang perlu saya tanggung. Rumah, kereta, termasuk ibu bapa.

“Semuanya saya (tanggung). Saya tidak mahu kecewakan sesiapa dan terlalu banyak tekanan tetapi saya memang benar-benar mahukan anak,” luahnya.

Dari sisi lain, wanita berstatus penyanyi dan pelakon itu juga perlu memikirkan soal kerjaya masa hadapan, selepas bergelar seorang ibu suatu hari nanti.

Sambil menyeka air matanya, pelantun Knock Knock itu bimbang, jika kerjaya seninya baik dalam bidang nyanyian atau lakonan bakal ‘terkubur’ selepas menimang cahaya mata.

“Saya tidak tahu (dilema). Saya nak sangat ada anak sebab usia saya sudah pun mencecah 30 tahun. Tapi saya kena fikir juga soal karier.

“Sebab kalau saya hamil, selama setahun saya tidak boleh bekerja. Watak yang bakal saya terima (berlakon) juga akan lain.

“Saya sendiri tidak tahu sama ada perancangan saya ini betul atau tidak,” ujarnya yang mahu mencapai banyak perkara dalam kerjaya seninya.

Tambah Lizzy, kehadiran banyak pendatang baharu dalam industri sebenarnya ‘membimbangkan’. Dia takut kerjayanya bakal jatuh merudum.

“Sudah banyak contoh yang saya lihat, ramai penyanyi wanita yang sedang meniti kemuncak populariti, tiba-tiba menjunam selepas berkahwin dan memiliki anak.

“Sedangkan penyanyi baharu semakin ramai membanjiri industri. Perkara itu sangat merisaukan saya,” jelasnya.

Melupakan seketika soal anak. Lizzy kembali tersenyum teruja apabila bercerita tentang watak lakonannya dalam siri terbaharu Viu, W: Two Worlds yang diadaptasi daripada naskhah K-drama.

SELEPAS beberapa buah filem termasuk Abang Long Fadil 3, Lizzy bakal menyerikan naskhah Viu W: Two Worlds Malaysia, Lizzy memegang watak sebagai setiausaha jelita bernama Hana.

Jadi ‘perempuan’

Dengan membawakan watak sebagai seorang setiausaha bernama Hana, Lizzy mengakui watak tersebut sebenarnya sangat mencabar untuk dirinya, kerana bertentangan dengan sifat dirinya sendiri.

“Saya bawa watak sebagai Hana, iaitu setiausaha kepada Hun Haqeem yang memegang watak sebagai Alif.

“Apa yang mencabar, sebelum ini saya selalu bawakan watak polis sahaja. Tapi kali ini saya kena jadi lebih ‘perempuan’.

“Bagi saya memang susah sebab karakter Hana sangat kontra dengan diri saya yang sebenar. Saya kena tukar nada suara, cakap lembut sikit. Itu bukan saya sebenarnya,” kata Lizzy.

Selain mengubah karakter, Lizzy juga perlu menukar warna rambutnya menjadi merah, supaya bersesuaian dengan karakter setiausaha yang cantik.

HATI wanita mana yang tidak mahu dikurniakan zuriat selepas berkahwin, namun Lizzy terpaksa menangguhkan hasrat tersebut demi karier dan kestabilan hidup.

Bimbang

“Walaupun nampak pelik sebenarnya, tapi saya mahu cipta watak sendiri,” kata Lizzy.

Lebih mengujakan, W: Two Worlds menjadi gandingan pertama Lizzy bersama barisan pelakon seperti Hun Haqeem, Mierul Aiman dan Daiyan Trisha.

“Ya Tuhan! Saya sangat teruja apabila dapat berlakon dengan Daiyan. Sudah lama saya impikan untuk berlakon dengan dia.

“Daiyan seorang pelakon yang hebat. Saya anggap dia sebagai angel (bidadari),” ujar Lizzy.

Memandangkan W: Two Worlds versi asal (Korea) sudah pun memiliki pengikutnya tersendiri, Lizzy menyimpan rasa bimbang, lebih-lebih lagi selepas ada dilemparkan kritikan oleh peminat.

“Saya tertekan sampai tak boleh tidur sebenarnya. Bimbang, takut tidak boleh bawa watak Hana dengan baik. Sebab siri ini sudah pun ada pengikutnya yang ramai.

“Belum ditayangkan pun, sudah ada yang kecam. Jadi bertambah stres saya,” katanya ketawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN