PERLUMBAAN lasak motocross terutama di peringkat akar umbi kini menjadi tumpuan syarikat korporat apabila syarikat pengurusan logistik terbesar di Malaysia, Skyex Kargo Sdn. Bhd tampil menjadi penaja utama perlumbaan kategori MXKIDS menjelang Kejuaraan Motocross Malaysia (MMC) 2023.
Bahang perlumbaan MMC 2023 semakin terasa apabila kejohanan peringkat kebangsaan itu akan membuka tirai pada 7 hingga 9 Julai ini di Pulau Pinang.
Lebih menarik perlumbaan lima pusingan tersebut turut memperkenalkan kategori baharu iaitu 50cc rookie dan 65cc yang berumur 12 tahun ke bawah.
Pengerusi MXKIDS Malaysia, Fazril Zabidi mengakui pihaknya berbesar hati dengan kerjasama tersebut, sekali gus dapat memberi manfaat buat kedua-dua belah pihak terutama membangunkan program akar umbi.
“Kami di MXKIDS berasa sangat gembira dengan pengumuman ini dan sangat teruja dengan minat yang telah ditunjukkan oleh Skyex Kargo dalam menyokong usaha pembangunan akar umbi yang dijalankan ketika ini.
“Pihak kami amat berharap dengan adanya pengecualian cukai yang diberikan kepada syarikat swasta, sekali gus dapat menggalakkan mereka bekerjasama atau menaja persatuan di negara ini.
“Kerjasama seperti ini dapat menarik lebih banyak pembabitan syarikat swasta dalam membantu menaikkan lagi industri sukan dalam usaha melahirkan atlet atau pemain hebat untuk negara terutamanya dalam sukan lasak motocross ini.
“Pihak MXKIDS Malaysia juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penaja untuk pusingan pertama ini seperti GP Lubricants dan MM Century atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan dalam usaha memajukan sukan motocross negara serta membantu mencapai kejayaan pada masa akan datang,” kata Fazril.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hadir menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan-rakan strategik antara Kelab TQMX selaku penganjur MMC dan Skyex Kargo Sdn. Bhd.
Beroperasi sejak tahun 2014, Skyex Kargo Sdn. Bhd. merupakan antara syarikat pengurusan logistik yang paling berjaya di Malaysia di mana mereka menyediakan perkhidmatan logistik bukan sahaja melalui perkhidmatan pengangkutan darat, malah turut menjangkau jalan laut serta penerbangan.
Pengarah Urusan Skyex Kargo, Muhammad Abdul Jalil berkata, kerjasama tersebut adalah salah satu sokongan mereka kepada rakyat Malaysia dan pihaknya sentiasa komited dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR)
“Ini merupakan salah satu Program CSR Skyex Kargo dan cara kami pulang kembali kepada rakyat Malaysia.
“Kami memilih MMC 2023 kerana ia platform yang baik melibatkan pelumba cilik yang menjadi harapan masa hadapan bermula daripada program pembangunan seperti ini.
“Saya percaya, ia akan memberikan hasil yang bagus untuk sukan motocross negara di masa akan datang,” kata Muhammad.