fbpx

Mahu Coco terus hidup, ibu guna kaedah akupuntur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibu kepada penyanyi Coco Lee menggunakan kaedah akupuntur sebagai ikhtiar terakhir demi memastikan anaknya terus hidup.

TIDAK putus asa walaupun sudah tiada harapan, ibu mendiang bintang pop Asia, Coco Lee turut menggunakan kaedah akupuntur sebagai ikhtiar terakhir demi memastikan penyanyi itu terus hidup.

Momen menyedihkan tersebut dikongsikan kakak mendiang, Nancy dalam sebuah wawancara bersama media Hong Kong, semalam.

“Ibu kami yang berusia 84 tahun adalah pengamal rawatan tradisional China. Dia melakukan usaha terakhir setelah doktor mengatakan adik saya mati otak.

“Ibu kami tak mahu menyerah dan mencuba kaedah akupunktur di kepalanya (Coco Lee),” kata Nancy.

Namun doktor menasihatkan keluarga untuk berserah kerana tiada lagi harapan, tetapi Nancy meminta ibu mereka diberi peluang mencuba.

“Ibu kami kehilangan suami ketika berusia 40 tahun dan Coco lahir beberapa tahun sebelum itu. Ibu bekerja keras membesarkan kami bertiga.

“Jadi saya meminta doktor memberikan ibu dan Coco kesempatan, biarpun sangat tipis peluangnya,” ungkap anak sulung daripada tiga beradik itu.

Pada masa sama, pihak turut menafikan dakwaan konon-kononnya penyanyi itu mati akibat mengelar pergelangan tangan sendiri seperti yang tersebar media sosial.

Malah dakwaan seorang rakan dalam industri yang mengadakan penyanyi Asia pertama yang menembusi pasaran Amerika Syarikat itu menderita akibat kanser juga ditangkis Nancy.

Menurut Nancy, Coco memang pernah menghidap barah payu dara, tetapi penyakitnya itu telah sembuh.

Cuma akhir-akhir sebelum kematian, Coco yang mempunyai masalah kaki sejak dilahirkan baru menjalani pembedahan sehingga mengakibatkan berat badannya turun mendadak.

Seperti disahkan sebelum ini, Coco atau Ferren Lee Kelly, 48, meninggal dunia selepas tiga hari ditemui koma di kediamannya.

Difahamkan mayat mendiang akan dibedah siasat yang mengambil masa sekitar sebulan untuk mendapatkan keputusan.

Sumber terdekat menjangka, majlis pengebumian hanya dapat disempurnakan sekitar Ogos depan.

Sementara itu, banyak pihak tertanya-tanya keberadaan suami penghibur tersebut, Bruce Philip Rockowitz, 64, yang juga jutawan asal Kanada berpangkalan di Hong Kong.

Difahamkan pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2011 itu sudah tidak sebumbung sejak dua tahun lalu, namun masih belum bercerai secara sah.

Rockowitz yang tiada di Hong Kong pada hari Coco dikejarkan ke hospital pada 2 Julai lalu turut menzahirkan kesedihan atas pemergian isterinya itu.

Semalam dunia muzik global dikejutkan dengan kematian penyanyi lagu A Love Before Time itu apabila disahkan menghembuskan nafas terakhir
di Hospital Queen Mary, Hong Kong.

Menyertai industri muzik dengan album solo, Love From Now On pada 1994, beliau memiliki 15 album dan mencatat rekod jualan puluhan juta unit.

Selain single berjudul Do You Want My Love berada pada nombor empat dalam US Billboard Disember 1999, Coco turut menjadi artis Asia pertama menyanyi di pentas Anugerah Akademi 2001. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI