fbpx

ADUN Hulu Kinta menang saman fitnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan individu yang didakwa bekas pemimpin PKR Perak membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berhubung kenyataan fitnah, dua tahun lalu. Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH 7 Julai – Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan individu yang didakwa bekas pemimpin PKR Perak membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, berhubung kenyataan fitnah, dua tahun lalu.

Perintah itu dikeluarkan pada 22 Mei lalu kepada Segar Ramasamy selaku defendan yang dikatakan pernah menjawat jawatan sebagai Naib Ketua Cabang PKR di Perak.

Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet dalam keputusan itu juga memerintahkan defendan menerbitkan suatu permohonan maaf lengkap dan tanpa syarat atas kepuasan plaintif di platform berita dalam talian dan akaun Facebook defenden yang mempunyai nama ‘Segar Segar’ dalam tempoh dua hari, dari tarikh perintah.

Muhamad Arafat dari PKR lega dengan keputusan tersebut kerana membersihkan nama beliau serta imej Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang baginya terkait dalam fitnah tersebut.

Katanya, saman itu difailkan kerana beliau telah dituduh menyalahgunakan sejumlah dana kerajaan sebanyak RM40,000 ketika wabak Covid-19 melanda negara selain menerima sejumlah wang daripada parti politiknya sebanyak RM450,000.

“Alhamdulillah, hari ini terbukti apa yang dinyatakan adalah semua fitnah,” katanya kepada media di luar perkarangan Mahkamah Tinggi Ipoh, di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya ketika ini sedang menilai permohonan maaf daripada defendan dan syarat-syarat lain sepertimana diperintahkan oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI