Setiap kali Aidilfitri dan Aidiladha perkara sama yang membelenggu orang Pantai Timur yang tinggal di Lembah Klang untuk balik beraya di kampung halaman.
Jalan mesti sesak, jalan mesti ramai orang dan pukul berapa waktu yang paling ideal untuk elak kesesakan yang teruk.
Jika salah percaturan akibatnya akan ‘makan jem’ lebih empat jam di susur ke Tol Gombak seperti yang dialami oleh penulis sendiri ketika Aidiladha baru-baru ini.
Setiap kali musim perayaan laluan ke Tol Gombak sehingga melepasi susur Bukit Tinggi di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak memang menduga keimaman.
Baru-baru ini seorang wanita yang berkahwin dengan lelaki Kelantan telah berkongsi perjalanannya balik ke Kelantan dari Lembah Klang selama 27 jam. Dia bertolak pada 27 Jun (malam) dan sampai ke Kelantan 29 Jun.
Ramai tidak percaya dan ada yang percaya dengan perkongsian video wanita itu yang ditonton lebih 1.6 juta orang dan menerima komen setuju sebanyak lebih 3,000 orang.
Jangan tidak percaya perjalanan 27 jam itu termasuk berhenti rehat (makan minum dan solat) beberapa kali.
Wanita itu turut menunjukkan dia berhenti rehat di sebuah air terjun di Kuala Krai, Kelantan bagi meredakan tekanan anak-anak yang masih kecil akibat terlalu lama berada dalam kereta.
Melalui perkongsian video itu ramai kagum dengan wanita-wanita yang berkahwin dengan lelaki Kelantan.
Sanggup menghadapi kesesakan yang teruk setiap kali balik ke Pantai Timur.
Ada kenalan penulis yang merupakan anak jati Kelantan yang mempunyai anak-anak kecil terpaksa berhenti kerap ketika dalam perjalanan pulang ke kampung disebabkan anak-anaknya mengalami tekanan akibat terlalu lama berada dalam kenderaan.
Berjalanan 10 jam boleh jadi sampai ke 15 jam disebabkan terlalu kerap berhenti bagi meredakan anak-anak.
Ada juga kenalan penulis yang tidak pernah balik ke kampung dengan kereta disebabkan suaminya orang negeri lain yang tidak sanggup meredah kesesakan teruk. Orang negeri lain tidak akan sesabar orang Kelantan.
Disebabkan itu dia terpaksa mengumpul duit untuk menempah tiket penerbangan yang berharga lebih RM1,000 sekeluarga untuk pulang ke kampung.
Sampai bila kita orang Kelantan akan melalui kesesakan dan jalan lama yang sempit untuk balik kampung dengan pertambahan kenderaan setiap tahun.
Dulu satu keluarga hanya pulang sebuah kereta, kini satu keluarga pulang dua kereta disebabkan anak sudah dewasa dan mahu pulang sendiri.
Laluan balik kampung tetap sama tidak berubah sejak bertahun-tahun, tidak dilebarkan atau dibesarkan disebabkan faktor-faktor kos. Bertabahlah ‘sek kito’














