SEBELUM ini, Anis Amirah Shaari, 36, aktif dengan sukan larian denai atau trail running, namun kini dia tidak dapat meneruskan aktiviti tersebut kerana masalah kecederaan pada kakinya.
Disebabkan itu, dia mencari alternatif lain bagi membolehkannya terus menjalani kehidupan yang aktif.
Kini, Anis Amirah seakan telah jatuh cinta terhadap aktiviti air iaitu Stand-Up Paddle (SUP) atau papan dayung berdiri.
Dia juga telah menjadi sebahagian daripada komuniti yang aktif dengan aktiviti tersebut.
Aktiviti tersebut merupakan sejenis sukan air yang memerlukan seseorang itu berdiri di atas sebuah papan besar dan menggerakkannya dengan bantuan dayung.
Aktiviti SUP boleh dilakukan di kawasan berair sama ada di tasik, laut, sungai dan lain-lain lagi.
“Saya suka melakukan aktiviti ini kerana ia melibatkan penggunaan seluruh anggota badan.
“Jika ada kelapangan, saya akan melakukan aktiviti ini di beberapa lokasi.
“Ia juga mudah dilakukan kerana banyak pihak yang menyediakan perkhidmatan menyewa peralatan SUP ini,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Dalam pada itu, Anis Amirah menyatakan, pada awalnya, dia takut untuk melakukan aktiviti SUP kerana tidak tahu berenang.
Namun katanya, pengendali aktiviti tersebut berjaya menyakinkannya bahawa pemakaian jaket keselamatan merupakan perkara utama yang dititikberatkan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Ini memberi keyakinan kepada saya untuk melakukan aktiviti SUP meskipun tidak tahu berenang.
“Untuk menguasai kemahiran mengendali SUP, ia tidak sesukar mana jika kita boleh seimbangkan badan.
“Andai ada keyakinan, pada kelas pertama kita sudah boleh mengendalikannya,” ujarnya yang turut mendedahkan aktiviti SUP kepada anaknya.
Sementara itu, Nadia Abdullah merupakan salah seorang komuniti SUP yang gemar melakukan aktiviti itu jika ada waktu terluang.
Menurut wanita berusia 34 tahun itu, SUP merupakan salah satu aktiviti yang mampu memberi kesan baik kepada kesihatan kerana ia melibatkan penggunaan seluruh anggota badan.

“Bagi mereka yang ingin mencari satu aktiviti bagi kehidupan lebih sihat, SUP merupakan pilihan terbaik kerana ia boleh menguatkan otot tubuh, di samping memberi keseimbangan badan.
“Selain itu, aktiviti ini memberi ketenangan kepada minda saya apabila dapat menelusuri kawasan tasik atau paya bakau sambil melihat keindahan alam ciptaan Tuhan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengasas RNR Adventures, Rashihah Nordin berkata, SUP boleh dianggap sebagai pecahan daripada aktiviti luncur air atau surfing dan kayak.
“Ini kerana papan SUP menyerupai bentuk seperti papan luncur air, namun ia dikendalikan dengan menggunakan dayung kayak.
“Apa yang membezakan SUP dengan kayak pula adalah segi bentuknya yang rata dan tiada tempat duduk khas.
“Oleh itu, kita boleh katakan SUP ini adalah gabungan antara aktiviti luncur air dan kayak,” terangnya yang turut menyediakan kelas kepada mereka yang ingin belajar mengendali SUP.
Rashihah turut memaklumkan, memandangkan permukaan papan SUP yang rata, seseorang itu boleh duduk, melutut ataupun berdiri untuk mengawalnya.
Meskipun bersifat fleksibel, namun seseorang itu perlu mahir seimbangkan badan terutamanya ketika berdiri.
Jika tidak seimbang, seseorang itu akan mudah terjatuh ke dalam air.
“Bagi yang baru belajar, kami akan mengajar mereka seimbangkan badan serta cara mengawal papan SUP ini bergerak ke hadapan, melakukan pusingan dan lain-lain lagi.
“Untuk mahir, ia bergantung kepada individu itu sendiri.
“Ada orang dalam tempoh dua jam belajar mereka sudah boleh seimbangkan badan dan mengawal SUP.
“Tempoh untuk menguasai kemahiran mengawal SUP ini tidaklah terlalu lama. Semakin kerap kita melakukan latihan, lagi cepat kita belajar,” terangnya.
Dalam pada itu, Rashihah menjelaskan, dia terlibat secara serius dengan aktiviti SUP sejak tahun 2020 lagi.
Sebelum itu, dia banyak terlibat dengan aktiviti kayak dan sering mengadakan ekspedisi berkayak.
Setelah mengenal SUP, dia jatuh cinta dengan aktiviti tersebut dan terlibat secara serius.
Mengulas lanjut, Rashihah berkata, aktiviti SUP kini semakin diterima baik dalam kalangan masyarakat tempatan.
Menurutnya, ketika menganjurkan ekspedisi berkayak sebelum ini, ada beberapa peserta yang mahir mengendalikan SUP akan turut serta.
“Saya dapati komuniti SUP di Malaysia semakin bertambah. Ramai yang sudah memiliki papan SUP sendiri.
“Sebenarnya, masih ramai yang berminat dengan sukan ini.
“Namun, mereka takut untuk mencubanya kerana tidak tahu berenang.
“Sebenarnya untuk melakukan aktiviti ini, seseorang itu tidak perlu pun mahir berenang.
“Sebaliknya, mereka hanya diwajibkan menggunakan jaket keselamatan apabila melakukan aktiviti ini,” terangnya.
Rashihah memaklumkan, dia kini sedang berusaha mengubah persepsi masyarakat bahawa hanya individu yang boleh berenang dibenarkan melakukan aktiviti SUP.
Selain itu, aktiviti itu tidak memerlukan kos yang terlalu tinggi seperti sukan air lain serta ditawarkan pada harga mampu milik.
Bagi kos menyewa peralatan SUP, ia ditawarkan pada harga serendah RM10 hingga RM60 mengikut tempoh masa.
Bagi mereka yang ingin memiliki papan SUP sendiri, ia boleh dibeli dengan harga di bawah RM1,000.
Dalam pada itu, Rashihah memberitahu, papan SUP memiliki kelebihannya yang tersendiri jika dibandingkan dengan kayak.
Katanya, papan SUP didatangkan dalam bentuk mudah alih dan mudah untuk disimpan dan dibawa.
“Untuk menggunakan papan SUP ini, kita hanya perlu mengisi angin di dalamnya
“Bagi menyimpannya pula, kita hanya perlu mengeluarkan angin dalam SUP.
“Kemudian, kita boleh melipatnya sebelum dibawa masuk ke dalam beg untuk disimpan.
“Ia juga tidak memerlukan ruang yang besar untuk menyimpan atau membawanya ke mana-mana sahaja,” terangnya lagi.














