fbpx

Lelaki maut dilanggar kereta dan lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas kemalangan dengan sebuah kereta dan lori di Kilometer 13, MRR2 menghala ke Ampang, Gombak, hari ini.

GOMBAK – Seorang lelaki maut selepas dilanggar sebuah kereta dan sebuah lori di Kilometer 13, Lebuh Raya Lingkaran Tengah (MRR2) menghala ke Ampang, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kejadian pukul 9.30 pagi itu melibatkan sebuah kereta, sebuah lori dan sebuah motosikal.

Kata beliau, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun berada lorong tengah dari arah Batu Caves menghala Ampang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, telah datang sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita tempatan berusia 48 tahun dari lorong paling kanan.

“Pemandu tersebut dipercayai telah mengubah laluan masuk ke lorong tengah dan telah terlanggar bahagian hadapan sebelah kanan motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Ariffin, akibat daripada kemalangan itu, mangsa telah terseret bersama motosikalnya ke lorong kiri dan telah dilanggar oleh sebuah lori.

“Lori tersebut dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ketika berada di lorong kiri jalan,” ujarnya.

Ariffin berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Selayang.

“Pemandu kereta dan lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman di talian 013-7557556.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI