fbpx

Inisiatif UMT pulihara belangkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UMT merupakan salah satu universiti di negara ini yang begitu komited dalam melaksanakan usaha memulihara belangkas yang merupakan hidupan prasejarah yang diancam kepupusan.

SECARA umumnya, belangkas merupakan haiwan prasejarah atau dikenali sebagai haiwan fosil yang telah wujud sejak 200 juta tahun dahulu dan masih kekal hidup membiak sehingga ke hari ini.

Belangkas hanya mempunyai empat spesies di dunia iaitu Limulus polyphemus (L.p) Tachypleus tridentatus (T.t), Tachypleus gigas (T.g), dan Carcinorcorpius rotundicauda (C.r).

Malaysia sangat bertuah kerana memiliki tiga daripada empat spesies belangkas di dunia iaitu T.t, T.g dan C.r, manakala L.p pula hanya terdapat di Amerika Utara.

Dua daripada tiga spesies belangkas iaitu T.g dan C.r terdapat di perairan Kemaman, Terengganu khususnya di Kuala Kemaman.

Pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh sekumpulan penyelidik belangkas daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam usaha melindungi haiwan purba yang diancam kepupusan itu, namun ia perlu dilakukan pada skala besar dan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Bersempena dengan sambutan Hari Belangkas Sedunia baru-baru ini, UMT mengambil inisiatif menganjurkan program Jom Lepas Anok Belangkas.

Ketua Projek, Prof. Dr. Noraznawati Ismail berkata, mereka berjaya lepaskan sejumlah 1,469 anak belangkas di perairan Kemaman sebagai langkah memastikan hidupan itu terus wujud dan kekal lestari.

“Program ini dijadikan acara tahunan dalam melestarikan populasi belangkas khususnya di Kemaman.

“Tambahan pula, program ini dijadikan aktiviti tahunan bagi menyokong sambutan Hari Belangkas Sedunia yang telah ditetapkan pada 20 Jun setiap tahun oleh International Union for

Conservation of Nature (IUCN) yang dianggotai oleh beberapa buah negara seperti Malaysia, Jepun, Amerika Syarikat, Indonesia, India dan lain-lain,” kata Noraznawati.

Orang ramai termasuk kanak-kanak teruja untuk mendekati anak-anak belangkas.

Tambahnya, selain itu, fokus mereka juga adalah untuk melahirkan jurupandu belangkas bermodul.

Bagi tujuan itu, mereka telah libatkan komuniti dan pelajar sekolah untuk diberi pendedahan khusus berkaitan haiwan itu dan usaha ini bagi memastikan populasi haiwan fosil yang unik ini semakin bertambah dan kekal wujud di perairan Kemaman khususnya dan Malaysia secara amnya.

Program Jom Lepas Anok Belangkas turut mendapat perhatian kira-kira 150 sukarelawan terdiri daripada gabungan persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pejabat Pendidikan Kemaman, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Persatuan Pemandu Pelancong Terengganu, Geng Plastik Ija (GPI) Kerteh Kemaman dan lain-lain.

Sementara itu, Noraznawati menjelaskan, program itu juga disifatkan sebagai titik permulaan bagi aktiviti tarikan pelancong dalam kalendar pelancongan negeri Terengganu.

Menurutnya, ini melalui usaha sama Kerajaan Negeri Terengganu dalam memperkenalkan belangkas sebagai produk baharu Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) daerah Kemaman dan seterusnya menjadikan Hatcheri Belangkas UMT Kuala Kemaman (HBUKK) sebagai Lokasi Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) yang ke-7 di daerah Kemaman.

Menurutnya, pusat pemuliharaan belangkas HBUKK itu telah dibangunkan oleh UMT di bawah Projek Translasional Belangkas UMT-KPT sejak tahun 2019 dan telah berfungsi sepenuhnya pada 20 Jun 2020.

“Pemilihan Pantai Telaga Simpul sebagai lokasi pelepasan juvenil belangkas sangat bertepatan memandangkan kawasan itu merupakan salah satu habitat semula jadi belangkas di perairan Kemaman.

“Belangkas akan datang bertelur di sepanjang pantai ini apabila tiba musimnya iaitu pada bulan Mei hingga Oktober.

“Tambahan pula, kedudukan pantai ini yang tidak jauh daripada HBUKK memudahkan pelancong untuk datang melawat HBUKK dan menjalankan aktiviti pelepasan juvenil di Pantai Telaga Simpul,” terangnya.

Tambahnya, dengan adanya program seperti itu diharapkan dapat memberi impak positif melalui peningkatan kadar populasi belangkas di perairan Kemaman.

Selain itu, penganjuran ini sebagai program perintis bagi melahirkan Jurupandu Belangkas yang bertauliah melalui modul khas yang diperkenalkan UMT dan akan berkhidmat di HBUKK.

Dalam masa yang sama, masyarakat setempat turut mendapat manfaat daripada limpahan ekonomi apabila Pantai Telaga Simpul bakal diwartakan sebagai kawasan pembiakan dan pemuliharaan belangkas, manakala HBUKK dijadikan lokasi ekopelancongan negeri Terengganu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI