fbpx

Gajah didera di Sri Lanka kembali ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penjaga memberi makanan kepada Muthu Raja di Zoo Dehiwala di Colombo 30 Jun lalu, sehari sebelum ia diterbangkan ke Thailand. – AFP

BANGKOK, Thailand – Seekor gajah yang pernah dihadiahkan oleh keluarga diraja Thailand kepada kerajaan Sri Lanka diterbangkan kembali ke Chiang Mai selepas didakwa menjadi mangsa penderaan haiwan, lapor akhbar Metro UK semalam.

Gajah itu dinamakan Muthu Raja di Sri Lanka atau lebih dikenali sebagai Sak Surin di Thailand. Ia merupakan satu daripada tiga ekor gajah yang dihadiahkan kepada Sri Lanka pada 2001.

Di Sri Lanka, mamalia berusia 29 tahun itu ditempatkan di sebuah tokong Buddha di Kande Viharaya dan diberikan peranan penting dalam upacara keagamaan.

Namun, pihak berkuasa Thailand mendesak Muthu Raja dikembalikan ke negara itu selepas mengalami apa yang disifatkan aktivis kebajikan haiwan sebagai layanan buruk selama bertahun-tahun.

Ia diterbangkan dari Colombo pukul 7.30 pagi (waktu tempatan) menggunakan pesawat kargo Ilyushin IL-76, melibatkan kos AS$700,000 (RM3.2 juta) dengan ditemani dua doktor haiwan serta empat jurulatih gajah profesional.

Gajah seberat 4,000 kilogram itu tiba di bandar utara Chiang Mai sejurus selepas pukul 2 petang (waktu tempatan) sebelum dipindahkan ke Pusat Pemuliharaan Gajah Thailand di Lampang, di mana ia akan dikuarantin sekurang-kurangnya 30 hari.

Muthu Raja diselamatkan daripada tokong di Sri Lanka selepas kumpulan hak asasi haiwan, Perhimpunan untuk Hak Haiwan dan Alam Sekitar (RARE) melakukan kempen agar ia dibebaskan.

RARE pada 2020 mendakwa bahawa Muthu Raja mengalami penderitaan dan dipaksa bekerja keras selama bertahun-tahun. Ia juga dikatakan dipaksa bekerja dengan pekerja pembalakan dan dipakaikan rantai berduri untuk bekerja di perarakan kuil tanpa rehat. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI