GEORGE TOWN – Kes suami penyondol atau perampas isteri orang semakin menjadi trend yang membimbangkan, malah ada lelaki yang telah mempunyai lebih daripada dua isteri masih cuba mengganggu rumah tangga pasangan lain.
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia yang mendedahkan perkara itu memaklumkan, rata-rata lelaki hidung belang ini berusia antara 30 hingga 60 tahun dan mereka menjadi punca banyak rumah tangga orang lain huru-hara sehingga bercerai.
Timbalan Presidennya, Muhammad Hariz Md. Yusoff berkata, peningkatan kes penceraian akibat gangguan orang ketiga dilihat telah berlaku dalam tempoh dua tahun sejak 2022.
Menurutnya, berdasarkan rekod kes kendalian pihaknya, Lembah Klang mencatatkan bilangan tertinggi kes isteri orang dirampas lelaki lain iaitu sebanyak 73 peratus, diikuti 13.5 peratus di wilayah Utara dan Pantai Timur.
“Sebanyak 15 kes (rampas isteri orang) berbentuk nasihat dikendalikan pihak kami sejak 2022 sehingga tahun ini dan lima daripadanya sedang dibicarakan di mahkamah.
“Mengikut pecahan, kes mahkamah yang direkodkan pihak kami juga meningkat daripada dua kes tahun lalu kepada tiga kes tahun ini. Ketika ini, kelima-lima kes itu direkodkan di Lembah Klang (tiga kes), manakala masing-masing satu kes di Utara dan Pantai Timur,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Muhammad Hariz memberitahu, banyak kes berlaku di Lembah Klang kerana ramai isteri yang bekerjaya sehingga menjurus kepada banyak cubaan untuk digoda lelaki lain.
Katanya, penyondol pula terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti ada yang bekerja dalam sektor perkhidmatan awam, swasta dan bekerja sendiri.
“Malah, ada yang si lelaki ini telah mempunyai isteri lebih daripada dua, masih mahu memikat dan cuba mengganggu rumah tangga pasangan lain,” ujarnya.
Jelasnya, media sosial juga menjadi platform mudah si penyondol memikat isteri-isteri orang.

“Ada wanita jadikan medium sosial sebagai tempat luahan hati berkaitan isu-isu kerja, rumah tangga dan isu luar pekerjaan.
“Disebabkan itu, ada lelaki kononnya sudi menjadi tempat luahan perasaan, seolah-olah mereka seorang ustaz, peguam, ‘doktor cinta’ atau kaunselor dalam permasalahan hubungan.
“Ada juga kes isteri mendakwa tidak bahagia dengan suaminya sehingga ia membuka ruang kepada lelaki lain untuk merampas wanita itu,” ujarnya.
Katanya, dalam kes tersebut, si wanita yang akan memulakan tindakan pemfailan perceraian di mahkamah dan seterusnya mendesak suami untuk segera menceraikannya.
“Wanita mendakwa telah berlaku keganasan rumah tangga, tiada nafkah zahir dan batin serta pelbagai alasan yang direka untuk mencapai objektif kesegeraan perceraian di mahkamah.
“Bukan setakat itu, ada isteri sanggup memperdaya suami dengan ugutan waran tangkap mahkamah dan paksa kehadiran suami bagi proses perceraian ‘fast track’, kononnya perlu disegerakan perceraian, jika tidak akan ditangkap polis,” katanya.
Dalam hal ini, jelasnya, suami dilihat sedaya upaya mempertahankan rumah tangga dengan berusaha mendapatkan khidmat guaman kerana enggan berpisah dengan isteri selain memikirkan anak-anak yang sedang membesar.
Lebih mengeruhkan lagi keadaan katanya apabila ada wanita berstatus isteri orang sanggup melakukan perbuatan curang termasuk menyerahkan kehormatan diri kepada teman lelaki.
“Banyak kes sebegini berlaku, malah ada yang hamil anak luar nikah dan menyembunyikan daripada pengetahuan suami.
“Anak tersebut dibin dan dibintikan dengan nama suami sedia ada. Apabila telah kantoi, diminta untuk menjalani ujian DNA (sampel asid deoksiribonukleik) bagi menentusahkan nasab, maka pelbagai alasan dan keengganan diberikan si isteri.
“Ada yang telah berkali-kali si isteri melakukan hubungan kelamin dengan orang luar di luar pengetahuan suaminya sehingga kebenaran diketahui oleh si suami dan seterusnya memfailkan nusyuz di mahkamah,” katanya.














