fbpx

Berang dengan isteri tapi tumbuk, tampar anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

AMPANG JAYA – Seorang lelaki berusia 40 tahun dipercayai bertindak menumbuk dan menampar dua anaknya yang berusia tiga dan 11 tahun ekoran baran dengan isterinya kerana meminta pasport.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada wanita berusia 37 tahun pada Rabu lalu.

Menurut Mohd. Azam, suri rumah itu mendakwa mengalami perselisihan faham dengan suaminya ketika berada di rumah dekat Taman Cheras Indah di sini.

“Mangsa meminta pasport miliknya dan anak mereka daripada suami selain bertanya kasut milik siapa yang berada di pejabat suaminya itu.

“Lelaki itu berang lalu terus menumbuk muka anak perempuan berusia 11 tahun sebanyak dua kali.

“Malah, sebelum kejadian itu, suaminya didakwa pernah menampar muka anak lelaki berusia tiga tahun sehingga meninggalkan kesan lebam. Mangsa turut diugut oleh suaminya kerana mahu membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Mohd. Azam berkata, polis berjaya menahan suspek di sebuah premis di Kampung Pandan Indah di sini sekitar pukul 6.45 petang, kelmarin.

“Semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan negatif ujian saringan air kencing.

“Suspem direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, kedua-dua anak mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Ampang.

“Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati anak perempuan mengalami kecederaan lebam di pipi kiri manakala anak lelaki mengalami kecederaan pada mata,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI