fbpx

Malaysia gesa Sweden ambil tindakan kes bakar al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Malaysia menggesa kerajaan Sweden mengambil tindakan segera terhadap individu melakukan perbuatan provokatif membakar al-Quran dalam satu kejadian yang berlaku pada 28 Jun 2023, di Stockholm.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, Sweden perlu mengambil langkah serius bagi memerangi sentimen Islamofobia yang semakin membimbangkan di negara itu.

“Malaysia percaya bahawa ketiadaan sebarang tindakan daripada pihak berkuasa Sweden dalam membendung tindakan provokatif itu boleh membawa kesan buruk terhadap hubungannya dengan umat Islam seluruh dunia.

“Pada masa sama, Malaysia juga mengulangi gesaan supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) untuk mengambil tindakan segera.

“Ia bagi menggalakkan penghormatan dan perlindungan sepenuhnya ke atas kitab suci agama serta memerangi sentimen Islamofobia yang semakin membimbangkan di seluruh dunia,”’katanya, di sini tadi.

Kementerian Luar berkata, Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa Sweden yang membenarkan perbuatan provokatif.

“Tindakan mencemarkan al-Quran tatkala umat Islam seluruh dunia menyambut Aidiladha merupakan penghinaan kepada umat Islam dan melanggar prinsip sejagat menghormati dan memahami semua agama kitab suci mereka.

“Ini merupakan kali kedua tindakan keji sedemikian berlaku di Sweden tahun ini selepas insiden pertama yang berlaku pada Januari 2023,” ujarnya.

Katanya, keputusan mahkamah Sweden membenarkan perbuatan keji itu berulang bukanlah satu langkah progresif dalam usaha meningkatkan rasa hormat dan persefahaman demi kebaikan umat manusia.

“Sebaliknya, langkah tersebut adalah seumpama membenarkan jenayah kebencian dan provokasi jahat bertujuan menyebarkan kebencian agama dan hasutan kepada keganasan yang merosakkan usaha keamanan serta ketamadunan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI