fbpx

Jadi selebriti, jangan bermegah sangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU pendatang baharu yang dilabel sombong bukan perkara asing dalam radar industri seni tanah air.

Ada sahaja nama-nama selebriti yang dipetik orang ramai dalam media sosial. Tidak pernah berhenti. Bagi mereka, selebriti merupakan figura milik masyarakat yang ‘wajib’ untuk sentiasa mesra dengan orang di sekelilingnya walaupun pada ketika itu melalui ujian berat dalam kehidupan.

Walau pedih mana sekalipun hidup, itulah harus ditelan golongan selebriti sekiranya mereka sudah melangkah masuk dalam dunia hiburan yang penuh dengan pancaroba.

Bagi penulis, bergelar selebriti bukan satu perkara mudah ke­rana ia boleh diibaratkan kehidupan mereka dirampas dan sukar untuk memiliki privasi melainkan dengan berkurung di dalam rumah.

Tindakan melabel seseorang artis sebagai sombong bukanlah satu hal yang bagus, namun semuanya akan berbalik semula kepada sikap selebriti itu sendiri.

Sebagai contoh, baru-baru ini, aktor yang sedang meningkat naik, Amir Ahnaf didakwa sombong dengan peminat yang mahu berswafoto dengannya.

Alasan yang didakwa diberikannya ialah penat. Jawapan itu seperti memakan diri lebih-lebih lagi dia baru hendak menapak sebagai seorang pelakon yang memiliki bakat besar.

Rugi sekiranya bakat dan po­pulariti yang dimiliki Amir tidak digunakan dengan sebaiknya dan perlu sentiasa beringat tanpa peminat, kerjaya seni mereka juga tidak ke mana.

Membahaskan hal tersebut, pelakon senior, Datuk Rosyam Nor berkata, kehadiran pelakon baharu perlu diraikan, namun mereka usah terlalu mendongak dengan populariti diraih sehingga lupa berpijak di bumi yang rata.

“Saya seronok melihak ramai artis baharu muncul bak cen­dawan yang tumbuh lepas hujan.

“Namun, pesan saya hanya satu iaitu hargai kemunculan diri sendiri dalam industri seni agar kerjaya tidak berakhir di tengah jalan,” katanya.

Jelasnya, bakat seni yang dimiliki mereka amat diperlukan, namun usah hanyut dengan po­pulariti yang boleh lenyap dalam sekelip mata.

“Sebenarnya isu pelakon atau penyanyi sombong ini tidak akan pernah habis. Perkara sama juga pernah dilakukan selebriti senior cuma sekarang zaman tular.

“Tidak senyum kepada peminat dilabel sombong. Justeru, sentiasa muhasabah diri dan hidup dalam dunia realiti.

“Jangan bermegah apabila dikejar peminat sebab semua itu akan hilang secara perlahan-lahan kelak,” ujarnya.

Sementar itu, aktres popular Eja pula menasihatkan selebriti muda agar lenyapkan sikap ‘keakuan’ iaitu hanya hidup dalam dunia sendiri.

“Bukan kurangkan, tetapi ja­ngan sesekali amalkan konsep ‘semuanya mengenai aku’.

“Perkara itu boleh mendatangkan mudarat kepada karier seni dan hubungan baik dengan pe­minat yang sentiasa menyokong kita,” ujarnya.

Tambah Eja, kehidupan sebagai artis bukan hanya mengenai diri sendiri, tetapi juga merangkumi semua yang berada di sekeliling termasuk masyarakat.

“Sikap sombong tidak akan membawa kita ke mana-mana pun kecuali hanya merosakkan nama dan kerjaya seni.

“Kalau rasa sudah semakin meninggi, kembalilah membumi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN